rap

Sayu kenang arwah bapa

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Setiap kali tibanya Syawal, hati Fauziah Latiff atau Jee, 46, pasti sayu terkenangkan arwah bapanya. Pengalaman menyambut hari raya bersama keluarga kecilnya tidak pernah luput daripada ingatan.

Katanya, paling tidak dapat dilupakan bagaimana arwah bapanya, Sheikh Abdul Latiff akan memastikan segala keperluan dibuat sempurna.

Ditemui ketika sesi rakaman program Melodi Raya, kata Jee atau Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, walaupun dia popular sebagai penyanyi, arwah ayahnya tidak pernah membuat persiapan berlebih-lebihan.

“Dia senang kalau semuanya dilakukan secara sederhana. Apabila datang Syawal, pasti saya akan rindukan arwah bapa kerana apabila tiba hari raya dialah yang paling sibuk membuat segala kerja bermula dengan mengemas rumah hinggalah kepada memasak.

“Biasanya arwah bapa juga yang menentukan juadah apa yang harus ibu siapkan dan selalunya saya dan adik juga ibu akan membantu apa yang patut,” katanya.

Mengenai sambutan kali ini, kata Jee, seperti biasa setelah ketiadaan bapa, dia akan memberi keutamaan kepada ibunya dan anak-anak.

“Tahun ini saya menjemput ibu di kampung untuk beraya dengan saya. Apa yang pasti saya mahu bersama dengannya pada Aidilfitri ini. Memang itulah rutin saya selepas ketiadaan ayah yang meninggal hampir lapan tahun lalu,” katanya.

Mengenai anak-anak pula, kata Jee, dua cahaya matanya, Joaquim dan Jeremy Jay tidak ada di Malaysia kerana menuntut di luar negara.

Agak lama menyepi, Jee mahu kembali memeriahkan industri. Jika tahun lalu Jee mengubat rindu peminat apabila tampil dengan single Seindah Takdir Cinta, sudah tentu ramai yang menantikan album terbarunya.

Tambah pula sekarang ramai penyanyi yang sudah punya nama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Datuk Sheila Majid tampil dengan album baru.

Bermula dengan album Digamit Memori pada 1988, Jee mempunyai 17 album dan kali terakhir tampil dengan album Keunggulan (2010), sudah tentu kemunculan album terbaru akan disambut baik peminat setianya sejak dulu hingga kini.

Sekurang-kurangnya album dihasilkan dapat dijadikan koleksi. Penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu akui perancangan itu memang ada tetapi dia harus menunggu giliran.

“Saya kini bersama syarikat rakaman Universal. Selain saya ada ramai lagi artis yang tampil dengan album baru seperti Siti yang albumnya baru saja diedarkan begitu juga Noraniza Idris.

“Jadi saya harus menanti waktu sesuai untuk mengeluarkan album. Bagaimanapun, keutamaan saya adalah untuk menghasilkan single terbaru selepas Seindah Takdir Cinta.

“Kali ini saya mahu menghasilkan lagu rancak selepas tampil dengan irama Balada,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan pula, Jee yang diminati menerusi drama Gelora Di Hati Sarah dan Kudrat Iman akui tidak pernah melupakan kerjaya lakonan tetapi masa kurang sesuai.

Katanya, dia memang tidak boleh buat dua perkara dalam satu masa dan kini tumpuannya pada nyanyian.

“Saya harus memilih sama ada untuk tampil dengan album atau berlakon. Untuk memberikan yang terbaik kepada peminat, saya harus fokus dengan kerja.

“Insya-Allah jika tawaran yang diberikan itu kena dengan masa, saya tidak keberatan untuk melakukannya. Tetapi biarlah ia sesuai dengan watak. Saya juga rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:39am
d