rap

Musim perangkap artis di media sosial

Kecoh satu Malaysia apabila aktor popular, Shukri Yahaya dikatakan meminta peminatnya menghantar pesanan dan gambar lucah menerusi media sosial.

Selepas itu penyanyi Sufian Suhaimi pula didakwa mengganggu peminatnya yang bergelar isteri orang. Kedua-dua kejadian ini berlaku hanya selang sehari. Lebih menarik apabila wanita yang mendakwa Shukri melakukan gangguan seksual di laman sosial turut tampil memberi kenyataan.

Dalam hati Cik Pang berbisik, berani sungguh. Melihatkan gambar wanita yang memberi kenyataan itu, kita hanya mampu mengurut dada.

Apa yang berlaku ini mengingatkan Cik Pang kepada kejadian yang menimpa Fizz Fairuz apabila seorang lagi pelakon, Fara Mendoza mendakwa suami pelakon Almy Nadia itu membuat gangguan seksual sewaktu berbalas mesej di laman sosial.

Waktu itu Fara Mandoza bukan siapa-siapa dan tidak dikenali. Menurut kisah, sewaktu kejadian itu dia hanya pelakon tambahan. Beraksi tanpa dialog atau jadi orang yang lalu lalang saja.

Tetapi selepas peristiwa itu mendapat perhatian, terus Fara Mendoza mendapat tempat dalam industri dan tawaran berlakon mencurah-curah. Daripada pelakon tambahan sekarang naik pangkat jadi pelakon pembantu.

Tentu peminat yang membaca coretan Cik Pang ini dapat tangkap apa yang ingin Cik Pang sampaikan membabitkan isu Shukri dan Sufian ini.

Mereka mungkin menjadi mangsa permainan orang yang mahu mempergunakan nama artis untuk mempopularkan diri. Mereka cukup faham modus operandi itu. Malah buktinya sudah ada, lihat di mana kedudukan Fara Mendoza sekarang.

Bagi Cik Pang, dalam isu ini perkara tidak akan berlaku kalau bertepuk sebelah tangan. Kalau sudah satu pihak yang mula, sudah tentu satu pihak lagi menyambut.

Atau sebenarnya mereka sekadar mahu menguji kerana mahu melihat sejauh mana peminat yang berbual dengan mereka itu sangat berani untuk menggadai maruah diri demi populariti.

Selepas kejadian itu, Rozita Che Wan atau Che Ta pula mengejutkan apabila mendedahkan ada peminat yang mengganggunya menerusi pesanan di media sosial.

Che Ta bertindak pantas dengan memuat naik gambar orang yang cuba berbuat tidak senonoh kepadanya sebelum dia dituduh melakukan perkara tidak baik.

Berhati-hatilah dan jadikan apa yang berlaku kepada Fizz Fairuz, Shukri, Sufian dan Che Ta ini sebagai panduan. Sekarang ini kita tidak tahu niat orang.

Disiarkan pada: June 25, 2017 @ 4:39am
d