rap

Pengacara berilmu fokus Syamim

Oleh Nor Akmar Samudin

Pertandingan Dewi Remaja 2014/2015, memperkenalkan figura jelita Syamim Farid ke dunia pengacaraan. Selepas bergelar naib juara pertandingan itu, Syamim dilamar mengacarakan program Hlive! yang bersiaran di Astro Ria.

Dia juga pernah mengacarakan program Go Shop. Selepas tamat kontrak Hlive! Syamim bertemu jodoh dengan Tengku Ezrique Ezzuddean, 29, dan bermulalah fasa baru dalam hidupnya apabila menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga dan menghabiskan masa melancong ke luar negara bersama suami.

Puas menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah, kini Syamim mahu aktif semula dalam dunia pengacaraan.

“Saya suka mengacara tetapi tidak menolak jika ada tawaran berlakon. Saya pernah bercita-cita menjadi pengacara Nona (TV3) dan harapan itu tidak pernah terpadam sehingga hari ini.

“Pengacaraan menjadi pilihan utama kerana saya suka bercakap depan kamera dan puas rasanya apabila dapat berkongsi maklumat dengan orang ramai. Kerjaya ini juga menambahkan keyakinan diri saya.

“Saya mahu jadi pengacara berilmu, bukan hanya disogokkan dengan skrip dan mengacara tanpa perasaan. Oleh itu saya banyak membaca dan cuba memahami apa yang berlaku dalam masyarakat. Saya juga tidak membataskan bahan bacaan,” katanya.

Syamim yang gemar melancong juga berharap berpeluang mengendalikan program travelog.

“Alhamdulillah, suami tidak menghalang minat saya,” katanya.

Bercakap soal anak, Syamim berkata dia dan suami tidak mahu tergesa-gesa memandangkan usia perkahwinan mereka baru setahun tiga bulan.

“Tiada tekanan daripada keluarga dan kami tidak merancang,” katanya.

Bercerita mengenai Aidilfitri, Syamin tiada masalah dalam menentukan rumah manakah yang mahu dituju dahulu kerana mentua dan keluarganya tinggal di Lembah Klang.

“Mentua tinggal di Shah Alam manakala ibu bapa saya menetap di Gombak. Pagi 1 Syawal lalu saya beraya di Shah Alam dulu dan petangnya baru pulang ke Gombak.

“Alhamdulillah, kami tidak perlu mengundi untuk balik ke rumah siapa dulu dan tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya. Persiapan pun biasa saja kerana belum ada anak. Cukup sehelai dua baju raya untuk saya dan suami,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 2:06pm
d