rap

Rosma bersama susah, senang

Oleh Nor Akmar Samudin

Sembilan tahun melayari rumah tangga, Khai, 38, bertuah hidup di samping Rosma, 32, kerana wanita itu baik hati dan sanggup mengharungi susah payah bersama.

Detik perkenalan mereka bermula apabila sama-sama menyertai program Akademi Fantasia musim pertama. Ketika itu Khai berusia 24 tahun manakala Rosma pula 18 tahun.

Lima tahun kemudian, mereka berkahwin namun kehidupan yang dilalui pasangan ini tidak semudah disangka apabila sumbangan kewangan bergantung kepada nyanyian semata-mata.

“Luaran, dunia seni nampak cantik tetapi realitinya bukan begitu.

Awal perkahwinan hidup kami agak susah tetapi Rosma bukan orang yang suka meminta-minta. Dia pakai dan makan saja apa yang ada.

“Sebagai ketua keluarga, saya mahu anak dan isteri hidup selesa jadi saya buat apa saja kerja asal boleh menampung keperluan kami. Rosma sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Saya menyediakan kertas kerja untuk dihantar kepada pemilik produk kecantikan dan ada yang melantik kami menjadi duta barangan mereka. Ketika itu, susah dapat tawaran menjayakan persembahan,” katanya.

Cerita Khai lagi, mujur dia mewarisi bakat berniaga daripada ibunya lalu apabila berdepan kesempitan hidup, dia tidak kekok menjual apa sahaja. Dalam usahanya mencari rezeki untuk keluarga, Khai pernah menjual bantal jeli.

“Saya tidak pernah berputus asa dan apabila kami dilantik menjadi duta produk kesihatan, terfikir kenapa kami tidak keluarkan produk sendiri. Maka, terhasillah produk pelangsingan badan yang Rosma sendiri menjadi testimoninya.

“Ketika melahirkan anak kedua, dalam masa enam bulan Rosma berjaya mengembalikan berat asalnya iaitu 46 kilogram.

“Alhamdulillah, perniagaan ini semakin berjaya malah kami ada 60 ejen jualan di seluruh negara. Saya bukan main jual sahaja tetapi ada menghadiri banyak kursus dan seminar niaga,” katanya.

Kini, kehidupan pasangan ini sudah stabil dan Rosma meneruskan kerjaya nyanyian.

“Rosma memang suka menyanyi dan biarlah dia terus aktif dalam bidang ini. Saya pula fokus berniaga. Saya juga sudah mampu membelikan barang kesukaannya termasuk menyediakan modal untuk menerbitkan single terbarunya yang akan dilancarkan selepas Aidilfitri ini,” katanya yang beraya di kampung Rosma di Kuantan, Pahang.

Pasangan ini ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini kerana Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik, mengadakan persembahan di cafÈ&PICC sepanjang Ramadan. Ini adalah kali keempat Rosma mendapat tawaran menyanyi di sana.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, 8 dan Nur Amani Damia, 3.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 2:11pm
d