rap

Sarah tak putus asa

Oleh Nor Akmar Samudin

Single Percaya menjadi taruhan Sarah Ismail, 30, namun selepas setahun lagu itu diterbitkan ia gagal mendapat tempat dalam arena seni tanah air.

Menurut Sarah, dia akan terus mempromosikan Percaya kerana lagu itu dihasilkan secara bersungguh-sungguh oleh Nashriq Ismail Sabri, pemilik E-Studios Management Sdn Bhd, syarikat penerbitan yang dinaunginya.

“Saya menyanyi di lounge dan cenderung dengan lagu jaz kerana pengunjung menyukai genre itu. Bagaimanapun, saya sedar pencinta muzik tempatan kebanyakannya meminati lagu pop dan balada. Oleh itu, saya paksa diri untuk menyanyikan lagu rentak itu.

“Meskipun Percaya kurang popular, saya tidak terkilan kerana Nashriq sudah melakukan yang terbaik. Video muzik lagu ini diarahkan Ghaz Abu Bakar.

“Saya sayangkan lagu Percaya kerana pembikinannya bukan senang. Saya dan pasukan bekerja keras untuk pastikan lagu ini berjaya tetapi belum ada rezeki.

“Daripada penyanyi jaz saya terpaksa menyesuaikan diri dengan rentak lagu pop tetapi cara nyanyian ada sedikit ke arah rock,” katanya.

Jika ada rezeki untuk rakaman lagu seterusnya, Sarah akan memilih melodi mesra telinga.

Sarah atau nama sebenarnya Maisarah, juga pernah berlakon namun kerana lebih meminati dunia nyanyian lalu bidang itu dilupakan seketika. Fokusnya adalah mempromosikan Percayalah.

“Sekarang saya sudah bersedia kembali berlakon dan berharap masih ada ruang untuk saya mencanai bakat,” katanya.

Lulusan jurusan Muzik, Vokal Klasikal Pop dan Jaz daripada Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan ini turut berkhidmat sebagai guru vokal.

Berkongsi sambutan Aidilfitri, Sarah berkata dia pulang ke kampung ibu bapanya di Muar, Johor.

“Emak dan ayah saya sekampung. Rumah pun berdekatan jadi tak timbul isu nak beraya di mana dulu,” katanya sambil ketawa.

Sarah amat menyukai ketupat daun palas yang dimakan bersama kari, kuah kacang dan sambal.

“Sepanjang beraya di kampung, saya tidak jemu menjamah juadah ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 12:01am
d