rap

Farhan jahit baju anak

Oleh Najiy Jefri

Penyanyi yang bakatnya digilap menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Farhan Azizan mengakui tiada masalah menjaga puteri sulungnya, Souffea Zulaeqha yang kini berusia tiga bulan.

Farhan, 32, berkata, dia beruntung kerana mempunyai keluarga dan adik yang berpengalaman menjaga anak kecil.

“Alhamdulillah setakat ini saya dan suami tidak berdepan masalah besar untuk menjaga Souffea.

“Lagipun, kami banyak kutip pengalaman keluarga. Cuma pada tiga hari pertama kelahiran saya kekok memegang Souffea dan menjaga waktu makannya,” kata Farhan.

Siapa sangka, berkat kesabaran yang tinggi untuk menimang cahaya mata dan pernah mengalami keguguran sebelum ini, Farhan teruja menyambut Aidilfitri bersama cahaya matanya itu.

“Alhamdulillah, kehidupan saya dan suami semakin ceria dengan adanya Souffea.

“Kalau dulu kami beraya berdua, kini sudah bertiga. Saya menjahit baju kurung untuk Souffea dan teruja mencari kasutnya.

“Saya jahit sendiri kerana susah mencari baju kurung untuk anak kecil berusia tiga bulan,” katanya yang menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentuanya di Kuantan, Pahang.

Segelintir selebriti wanita memilih memperlahankan aktiviti seni selepas bergelar ibu namun Farhan akan meneruskan karier nyanyian seperti biasa.

“Pada mulanya saya risau juga jika tidak dapat membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya seni.

“Namun saya bertuah kerana ibu sudi membantu Souffea jika saya ada undangan persembahan. Suami pun tiada masalah untuk menjaga puteri sulung kami.

“Saya memang tak mahu menggunakan khidmat pembantu rumah,” katanya yang bakal muncul dengan single baru.

Farhan dan suaminya Ahmad Rashadan Suhaimi bernikah pada Oktober 2014.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 12:01am
d