rap

Melaram dengan baju raya

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SAMBUTAN Aidilfitri bukan saja dimeriahkan dengan pelbagai program TV malah dalam kalangan artis tempatan masing-masing melaram dengan baju raya.

Sejak hari pertama Aidilfitri sehingga semalam dapat dilihat pelbagai rekaan dan warna baju raya yang dikongsikan artis di laman Instagram menerusi Outfit Of The Day (OOTD) mereka.

Berikut top 5 OOTD artis tempatan bersama keluarga masing-masing yang menjadi bualan dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat di laman sosial.

1. Nora Danish

Busana warna putih yang digayakan Nora bersama suami pada raya pertama mencetuskan kontroversi apabila kain lace yang digunakan dikatakan terlalu seksi dan tidak sesuai untuk sambutan Aidilfitri. Lebih malang apabila baju Nora itu disamakan dengan gaun tidur dan alas meja.

2. Rozita Che Wan

Gaya OOTD Raya pelakon Rozita Che Wan bersama keluarga tidak pernah lekang di bibir peminat setiap kali sambutan Aidilfitri. Pada raya pertama Che Ta memilih rekaan Minaz, raya kedua rekaan Rizman Ruzaini dan raya ketiga daripada Teh Songket. Sementara baju Melayu suami dan dua anak lelaki rekaan Man Kajang. Seakan tidak mahu kalah, potret raya Che Ta sekeluarga diambil di sebuah hotel ternama di ibu negara.

3. Rebecca Nur Al Islam

Setiap tahun OOTD Raya pelakon Rebecca bersama suami dan anak antara yang mencuri tumpuan. Selain pemilihan warna, rekaan baju sedondon membuatkan peminat tertunggu-tunggu. Raya pertama tahun ini, Rebecca memilih warna ungu, raya kedua warna merah jambu dan raya ketiga warna biru. Semua baju itu adalah rekaan Syafieq Ayman.

4. Datin Emylia

Turut mencuri tumpuan adalah OOTD Raya isteri kepada pengacara Datuk AC Mizal iaitu Datin Emylia. Raya pertama keluarga ini memilih warna merah sebagai tema. Emylia menggayakan busana daripada Emeldarose KL dengan bermotifkan rama-rama. Pada raya kedua pula Emylia dan anak perempuannya memilih warna hitam juga bermotifkan sama iaitu rama-rama.

5. Nabil Ahmad

Dalam pada orang lain memilih warna pastel dan terang, keluarga pelawak dan pengacara Nabil Ahmad pula menggayakan baju sedondon warna hitam. Menerusi komen yang ditulis peminat, baju mereka sekeluarga bermotifkan sisik ular.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 3:38pm
d