rap

Arnold, Rd, Jay turut rai lebaran

Oleh Michelle Gun

Aidilfitri yang disambut meriah baru-baru ini bukan saja dinanti-nantikan umat Islam, tetapi juga bangsa lain yang ingin memeriahkan suasana perayaan itu.

Bagi penyampai radio The New Hitz Morning Crew stesen radio Hitz FM Arnold, RD dan Jay, Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk meluangkan masa bersama rakan beragama Islam.

Lebih istimewa, Jay yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) pertama kali merasai suasana Aidilfitri sejak berpindah ke negara ini tujuh bulan lalu.

Malah, pada 1 Syawal lalu Jay turut bergaya dengan sepasang baju Melayu dan samping.

Bukan itu saja, ketika Ramadan lalu Jay turut berpuasa dan melakukannya tanpa berbuka lebih awal.

“Perasaan ingin tahu membuat saya cuba berpuasa. Namun, sebelum itu saya menghubungi bapa di AS untuk memberitahu mengenai niat itu.

“Saya sangat gembira kerana berjaya berpuasa penuh seperti umat Islam. Semuanya terjadi kerana disiplin,” katanya.

Jay berkata, sepanjang berpuasa dia tidak tidur, sebaliknya membuang rasa penat dengan membaca buku atau menonton televisyen.

“Mengenai menu sahur pula, saya mengambil protin, bijirin dan ‘shake’ pisang untuk tenaga sepanjang hari,” katanya.

Bagi Arnold dan RD pula, perkara paling menyeronokkan mengenai Aidilfitri ialah mereka dapat mengumpul duit raya.

“Walaupun sudah dewasa, kami tetap seronok menerima duit raya. Tahun lalu, saya berjaya mengumpul RM50,” kata Arnold.

Menurut Arnold, tahun ini dia tidak sempat membeli baju Melayu baru dan memakai semula pakaian lama.

“Bagi saya, paling penting pakaian perlu sopan apabila pergi beraya,” katanya.

Kadang-kadang ‘prank call’ gagal juga

Bercerita mengenai gandingan mereka bertiga mengendalikan segmen pagi Hitz FM, RD atau nama sebenarnya Ryan De Alwis berkata, dia dan Arnold mudah serasi dengan Jay.

“Sudah lima tahun saya mengenali Arnold dan kehadiran Jay memeriahkan lagi suasana segmen pagi.

“Tidak dinafikan keserasian amat penting untuk kelancaran program, pada masa sama, kami saling membantu mengukuhkan kekuatan masing-masing dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai ‘prank call’ Gotcha yang turut dilakukan tiga penyampai berkenaan, RD mengakui kadang-kadang perancangan mereka mengenakan seseorang gagal.

“Kami membuat panggilan ‘prank’ apabila mendapat permintaan daripada pendengar yang akan memberi beberapa maklumat.

“Kadang-kadang ‘prank’ memakan masa sehingga dua minggu untuk mengenakan seseorang dan semua perbualan dirakamkan.

“Ada juga yang tidak menjadi dan terdapat juga beberapa ‘mangsa’ prank mengenali suara Jay,” katanya.

Namun begitu, RD menegaskan mereka sentiasa menjaga sensitiviti dan tidak mempunyai niat yang boleh memburukkan kedua-dua pihak.

“Setiap pendengar mempunyai pandangan masing-masing mengenai panggilan Prank. Sebagai penyampai radio, adalah tanggungjawab kami untuk menghiburkan pendengar dengan memberi kandungan terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2017 @ 12:37pm
d