rap

Buah tangan sulung Prime Domestic

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Sejak meninggalkan Wings tahun lalu, ramai ternanti-nantikan karya terbaru Joe yang kini bersama Prime Domestic.

Difahamkan, album sulung Prime Domestic yang turut dianggotai Aweera (penyanyi), Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Ainol (dram) sepatutnya berada di pasaran semalam, namun ia terpaksa ditangguhkan atas sebab tertentu.

Menyentuh mengenai album itu, Joe berkata, permintaannya sudah sedia ada sejak awal lagi apabila peminat membuat pesanan secara dalam talian.

“Kami faham peminat begitu teruja untuk memiliki album sulung Prime Domestic dan kami tak mahu membiarkan mereka ternanti-nanti begitu lama.

“Lagu yang ditampilkan adalah hasil ciptaan kami sendiri serta sumbangan komposer Datuk M Nasir,” katanya.

Menurutnya, lagu Sedingin Pluto, Tekno Dewata dan Satukan Impian yang dirakamkan sebelum ini turut dirakam semula untuk kepuasan peminat.

“Cuma sesiapa yang dapat single itu sangat bertuah kerana ia dianggap sebagai karya ‘masterpiece’.

“Apabila kami rakam semula lagu ini dalam bentuk baru, secara automatik ia dikira lain,” katanya.

Album yang diterbitkan Prime Domestic itu turut menjalani proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ di Sydney, Australia.

Rancang promosi bergerak

Pelan promosi perlu ada bagi menghebahkan kemunculan album ini kepada peminat dan ia akan bermula pada 6 Ogos ini di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

“Ini adalah pembuka tirai dan selepas itu barulah ia akan berkembang ke utara, selatan dan seterusnya pantai timur.

“Tarikh untuk persembahan di Kuala Lumpur sudah dimuktamadkan, manakala lokasi lain dalam proses perbincangan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Joe mengakui selepas mengadakan persembahan sulung di House@GTower, Kuala Lumpur pada 2 April lalu, mereka didatangi tawaran untuk beraksi dalam konsert solo namun terpaksa ditolak.

“Ketika itu kami pun terlalu sibuk dengan rakaman album dan tak nak ambil risiko. Biarlah kami beraksi pada Ogos kerana sekurang-kurangnya peminat sudah tahu lagu Prime Domestic.

“Berkenaan tajaan, kami akan cuba mendapatkannya. Bagaimanapun, jika tiada, ia bukan penyebab untuk kami tidak teruskan persembahan walaupun agak susah untuk mendapatkan penaja sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Joe gembira kerana tontonan peminat terhadap muzik video Sedingin Pluto di YouTube sudah melebihi 100,000 tontonan.

“Momentumnya semakin hari semakin meningkat. Kami menunggu lagu ini dimainkan di radio yang diharap dapat membantu menguatkan promosi lagu ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2017 @ 9:56am
d