rap

'Mungkin ada hikmah...'

Oleh Najiy Jefri

Walaupun terkejut apabila kontraknya bersama Astro Talent Management tiba-tiba ditamatkan pada April lalu, bekas peserta Akademi Fantasia 2015, Sharul Kamal bersyukur kerana ia mengajarnya lebih berdikari dan belajar mengenai selok-belok dunia hiburan.

Sharul berkata, ketika dimaklumkan kontraknya tamat April lalu, dia memang terkejut kerana kontraknya hanya akan tamat tahun depan.

“Ketika dimaklumkan kontrak akan ditamatkan, saya hampir hilang arah kerana tidak tahu bagaimana nak merencana perjalanan seni.

“Lagipun, saya masih hijau dalam bidang ini dan tidak pandai mengenai selok-belok industri muzik. Sebenarnya bukan hanya saya seorang yang ditamatkan kontrak, ramai lagi artis naungan mereka menerima nasib sama,” katanya yang turut mengakui belum bersedia menguruskan kerjayanya sendiri ketika itu.

Sharul berkata, walaupun sedih dan kecewa, dia tidak pernah menganggap ia sebagai penamat kariernya.

“Mungkin apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Saya berterima kasih kepada syarikat pengurusan terdahulu kerana dalam tempoh setahun, mereka banyak membantu menaikkan dan menjenamakan nama saya,” katanya.

Menurut Sharul, dia juga bersyukur kerana menerima beberapa lamaran daripada syarikat rakaman terkenal untuk mengambilnya sebagai artis mereka.

Bagaimanapun, dia belum membuat keputusan menerima mana-mana tawaran dan masih dalam proses perbincangan.

Sharul berkata, selain menyanyi, dia juga aktif menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi tempatan.

“Setakat ini ada beberapa penyanyi yang sudah mendengar lagu yang saya cipta. Melihat maklum balas yang diterima rata-ratanya menyukai lagu yang saya dihasilkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 1:44pm
d