rap

Berdebar jadi heroin

Oleh Nor Akmar Samudin

Slot Akasia di TV3 boleh dikatakan memberi tuah kepada pelakon yang terpilih untuk membintangi drama yang bersiaran pada waktu perdana stesen TV itu.

Kini giliran itu datang kepada Farah Nabilah Saipuddin, 25, yang akan ke lokasi penggambaran drama Titian Cinta, selaku watak utama, namun dia belum pasti siapa heronya.

“Peluang untuk muncul dalam slot Akasia agak cepat dan semoga penonton lebih mengenali saya selepas ini.

“Kali pertama saya diberi watak utama pastinya berdebar. Slot Akasia menjadi medan pelakon menempa nama dan berharap selepas berakhirnya siaran drama itu, tawaran lakonan yang lebih hebat menanti saya,” katanya.

Menurut Farah, Titian Cinta diadaptasi daripada novel dan jalan ceritanya mirip drama Andai Takdirku yang bersiaran di TV3 lakonan Shukri Yahaya, Nina Iskandar dan Puteri Balqis.

“Titian Cinta sarat dengan emosi dan deraian air mata,” katanya yang membawa watak sebagai Cikgu Khaty dalam drama bersiri Papa Ricky sebelum ini.

Dalam pada itu, anak sulung daripada enam beradik ini juga suka memasak.

“Minat memasak bukan datang secara semula tetapi apabila sering diminta ibu membantunya di dapur, saya akhirnya jatuh cinta dengan memasak.

“Saya boleh memasak semua jenis makanan, Barat atau Timur dan berangan-angan mahu jadi cef dan ada program masakan sendiri. Setiap kali memasak saya akan muat naik dalam Facebook dan Instagram saya.

“Ada juga ‘followers’ yang sentiasa menunggu masakan saya setiap hari. Jika ditakdirkan tidak laku lagi nanti, saya boleh jadikan kepakaran memasak sebagai modal mencari rezeki,” katanya.

Farah bukan saja memiliki pakej lengkap untuk bergelar bintang, namun dia juga dikurniakan akal yang bijak dengan memiliki ijazah dalam bidang psikologi dari Upper Iowa University: Malaysia Campus Program di Kuala Lumpur.

“Sebelum menyambung pengajian di sana lima tahun lalu, saya banyak berlakon iklan komersial tetapi terpaksa melupakan pembabitan itu buat seketika untuk belajar.

“Tamat saja pengajian saya dihubungi pihak TV3 untuk datang ke uji bakat drama Inikah Cinta untuk slot Dahlia. Sehingga kini belum dapat bekerja dalam bidang yang dipelajari dulu tetapi saya yakin, ilmu itu tidak akan hilang, malah pasti boleh digunakan suatu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 1:52pm
d