rap

Iggy buat kejutan

Oleh Georgie Joseph

Ibarat menjilat balik ludahnya, penyanyi rap Iggy Azalea, 28, bakal bekerjasama dengan musuh ketatnya, Azealia Banks dalam album terbaru berjudul Digital Distortion (DD).

Dua penyanyi ini mengejutkan dunia pada 2012 apabila perbalahan yang tercetus antara mereka semakin menjadi-jadi.

Malah, isu digaduhkan mereka turut menyentuh perkauman selain memburukkan muzik masing-masing.

Bagaimanapun, nampaknya permusuhan itu bakal berakhir selepas penyanyi kelahiran Australia terbabit mengumumkannya sendiri di Twitter.

“Pesanan Khidmat Masyarakat, Azealia akan dimuatkan dalam DD. Kami akan bekerjasama,” katanya.

Apa yang pasti, pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi peminat yang rata-rata mengutuknya tidak mempunyai pendirian tetap.

Mana tidaknya, Iggy membawa pergaduhan mereka ke tahap kritikal tahun lalu apabila tergamak mendoakan Azealia mati.

Walaupun dihujani kutukan daripada peminatnya dan Azealia, Iggy tidak kisah sekiranya peminat tidak dapat menerima keputusan itu.

Saya tidak harapkan anda boleh faham kenapa saya mahu bekerjasama dengan seseorang yang saya pernah doakan mati secara terang-terangan.

“Sentimen negatif ini sudah berlangsung sangat lama dan sekiranya ada cara terbaik untuk menukarnya kepada positif serta curahkan kreativiti, saya sedia melakukannya,” tulis Iggy.

Bagaimanapun, tarikh sebenar album itu dilancarkan belum diketahui disebabkan penyanyi Fancy terbabit memberikan pembayang mengelirukan sebelum ini.

Pelancaran album itu berdepan masalah teknikal walaupun sudah mengumumkan penghasilannya sejak 2015.

Bagaimanapun, isu teknikal berkenaan masih tidak akan menandingi tanggapan pengguna Internet mengenai keputusannya bekerjasama dengan Azealia.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 9:23am
d