rap

Miera harap sinar baru

Oleh Norhayati Nordin

Pernah menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan era 1990-an, ia menjadi pembuka langkah buat Harmira Yusof, 35, menceburi bidang nyanyian.

Meskipun tewas di pentas final, Harmira tetap mendapat kepercayaan untuk muncul dengan album.

Pada 1998, dia bersama beberapa finalis wanita lain dikumpulkan dan menghasilkan album kompilasi Puteri-Puteri Sinaran.

Tidak terhenti di situ kerana sambutan baik diterima, pada 1999 pula album Puteri-Puteri Sinaran 2 diterbitkan.

Apa pun, selepas bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga, Harmira beralih arah kepada kerjaya lain sebagai kakitangan kerajaan pada 2000 hingga 2005.

Namun, minat Harmira atau kini dikenali dengan nama pentas baru, Miera Yusof tidak pernah padam terhadap nyanyian.

Miera berkata, minatnya pada nyanyian tidak pudar dan tetap aktif menyanyi di negeri kelahirannya, Terengganu.

“Hingga kini saya masih menerima undangan persembahan menyanyi di sekitar Terengganu dan pantai timur.

“Cuma kebanyakan acara persembahan nyanyian disertai itu menjurus pada majlis makan malam korporat dan tidak mendapat liputan media,” katanya.

Apapun, menurut Miera dia tidak pernah berkecil hati kerana faham selepas agak lama menyepi sudah pasti dia kurang dikenali.

“Ketika menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan dulu pun saya masih remaja dan sekarang pula sudah menjadi mak orang.

“Saya sedar nama Harmira Yusof itu mungkin sudah dilupakan dan kini dengan semangat baru saya mahu membuat kemunculan semula,” katanya.

Kini, ibu kepada lima anak itu dengan berani muncul mempertaruhkan single barunya, Ku Idam Cinta.

Seiring dengan kemunculan semula Miera turut bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan komposer baru.

Katanya, lebih sedekad menyepi tanpa lagu baru untuk kemunculan ini dia memilih karya ciptaan komposer Faizal Sulaiman dan lirik oleh Fatin Syahida.

“Walaupun mereka penggiat seni baru, lagu Ku Idam Cinta dirasakan begitu sesuai dengan vokal saya. Ditambah lagi agak mudah untuk saya menjiwai lagu ini ketika proses rakaman dilakukan di studio,” katanya.

Menerusi album Puteri-Puteri Sinaran dulu, Miera mempunyai dua lagu iaitu Tanda Harga Cinta ciptaan Azmeer dan Satu Fenomena Cinta.

Begitu juga untuk album Puteri-Puteri Sinaran 2, Miera pernah merakamkan lagu Ranting Berduri Menikam Hati ciptaan Azmeer dan Kekasihku ciptaan Aznul Haidi.

Kata Miera, dia meletakkan harapan besar pada lagu Ku Idam Cinta untuk diputarkan di radio dan menerima sambutan baik daripada pendengar muzik tempatan.

“Meskipun kini saya kembali mencuba nasib dalam bidang nyanyian pada usia sudah melewati pertengahan 30-an, ia bukanlah satu halangan.

“Saya sentiasa percaya kepada rezeki yang ditentukan Allah. Cuma semoga saya mendapat pelung untuk bakat nyanyian diketengahkan semula,” katanya.

Selain menyanyi, Miera juga membuka sekolah muzik sendiri, Maya Abaya Miera School di Kemaman, Terengganu sejak awal tahun ini.

Katanya, dia turut bertindak sebagai guru mengajar vokal termasuk kelas dram dan piano.

“Sekolah muzik saya serba lengkap dan mempunyai studio rakaman. Bagi saya, bakat anak seni perlu digilap pada usia muda.

“Dari situ akan terlihat potensi diri mereka yang boleh digilap seterusnya mendapat pendedahan awal untuk melangkah ke dunia seni sebenar,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2017 @ 1:49pm
d