rap

Hati tertambat kala terpandang

Oleh Ramlah Zainal

Hampir enam bulan mengenali hati budi, akhirnya pelakon drama Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid, 22, sudah pun bergelar tunang kepada ahli perniagaan, pelakon dan pengacara TV, Raden Ahmad Faizal Datuk Yaakob atau Raf Yaakob.

Majlis pertunangan berlangsung secara tertutup sempena Jamuan Santai Aidilfitri SukaSucre Creatives di Roof Garden, Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Jumaat lalu.

Raf, 32, berstatus duda dua anak adalah adik kepada cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob.

Ketika ditemui, Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, dia tidak pernah percaya dengan istilah jatuh cinta pandang pertama.

“Ternyata saya salah. Kali pertama bertemu Raf, dia berjaya menambat hati saya.

“Raf memiliki kriteria suami yang dicari iaitu penyayang, bertanggungjawab, berkarisma, merendah diri, sopan tutur kata dan boleh bimbing saya dunia akhirat.

“Saya kagum dengan pengetahuan agama Raf apatah lagi selepas melihat dia dan abangnya (Fazley) membaca talkin ketika arwah bapa mereka meninggal dunia,” katanya.

Bercerita detik perkenalan, kata Mawar, dia dan Raf diperkenalkan pelakon Emma Maembong Januari lalu.

“Saya mengenali Raf di sebuah restoran yang turut ditemani Emma dan rakan lain.

“Ketika itu, Emma menyuarakan hasrat menemukan kami kerana Raf sudah dianggap abang angkatnya.

“Secara kebetulan, bapa Emma ialah rakan karib arwah bapa Raf dan keluarga mereka saling mengenali sejak 12 tahun lalu.

“Manakala Emma dan adik-beradiknya juga berkawan rapat dengan saya sejak di bangku sekolah sehingga sekarang,” katanya.

Pelakon yang mencuri perhatian ramai menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/15 ini berkata, dia akan meneruskan kerjaya seni selepas berumah tangga nanti.

Bagi Raf pula, Mawar gadis yang sopan, lemah lembut, baik hati, menghormati orang tua dan menyukai kanak-kanak.

“Mawar juga pandai cari duit dalam usia muda,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh majlis pernikahan dan persandingan pula, kata Raf, ia dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

“Pihak kami belum putuskan tarikh dan ia masih dalam perbincangan kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja,” katanya.

Pada majlis pertunangan itu, Mawar tampil anggun dengan busana rekaan Cosry. Acara itu dihadiri kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua pihak.

Hadir sama, ibu Raf, Datin Umi Kalsom Abd Latib; isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.

Terdahulu, Raf sudah menghantar rombongan merisik Mawar di kediaman keluarganya pada 7 Mei lalu sebelum berangkat ke London untuk bermain bola di Old Trafford di bawah Kelab Peminat Manchester United selaku Presiden My Man Malaysia.

Ia disusuli dengan Raf melamar Mawar pada 7 Jun lalu dalam suasana romantis dengan kelopak bunga ros merah bersama lilin tertulis ayat, Will U Marry Me? dan gambar itu turut dimuat naik di laman Instagram mereka.

Keluarga restui hubungan

Sebagai ketua keluarga, Fazley percaya jodoh Raf dan Mawar sudah ditentukan Allah SWT.

“Sebagai abang, saya dan seluruh anggota keluarga mendoakan yang terbaik buat mereka,” katanya.

Fazley berkata, sejak bapanya meninggal dunia, dia yang menjaga anggota keluarga dan sentiasa berada di sisi mereka.

“Saya juga menggalas sepenuhnya tugas merisik dan bertunang sekali gus majlis pernikahan serta persandingan pada tarikh yang bakal diumumkan kelak.

“Kami memilih 7 Julai untuk majlis pertunangan bagi memperingati tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa kami,” katanya.

Sementara itu, ibu Raf mengakui merestui hubungan anaknya dan Mawar sejak awal lagi.

“Saya nampak keikhlasan dan kasih sayang mendalam di antara mereka sejak awal perkenalan lagi.

“Raf berterus terang kepada saya bahawa Allah yang menemukan Mawar dengannya.

“Raf mengaku jatuh hati dengan Mawar kerana kejujuran, kematangan dan menepati cita rasanya.

“Mawar seorang gadis yang memiliki personaliti menarik, penyayang dan menghormati orang tua.

“Semoga Raf dan Mawar dapat mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat,” katanya.

Sementara itu, majlis pertunangan juga diadakan serentak dengan jamuan Santai Aidilfitri yang juga rumah terbuka Hari Raya bersama keluarga dan barisan artis di bawah naungan SukaSucre Creatives.

Antara barisan artis yang hadir ialah Imran Ajmain, Dr Ezani Monoto, Imelda Harris, Sazrin Aizul, Amir Gani, Rhys William dan Firwan Johan.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 2:12am
d