rap

Isteri ceria Mus kian pulih

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SELEPAS tujuh hari dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma, penyanyi kumpulan MAY, Mus, mula menunjukkan tanda-tanda positif untuk pulih apabila mula membuka mata.

Perkembangan terbaru ini sudah cukup melegakan dan menggembirakan hati isterinya, Suraya Bahari.

"Salam semua..saya kaksu wife mus..smlm mus ada ok sikit dah bole buka mata tapi dlm separuh sedar lagi..lama btul mus di tido kan arini dh masuk ari ke 7.Plasma exchange yg di masukkan ke dlm darah mus pun ada improve..tapi utk mus di tahan di icu lama lagi selagi tk stabil..Doc bgtahu mus ni semangat dia kuat..saya nk ucapkan jutaan terima kasih pd semua peminat2 mus yg x henti2 mendoakan mus..kalau mus dh sedar nanti saya akn bgtahu mus yg peminat2 dia sayangkan dia..amin..tq semua,” tulis Suraya di Facebook Mus, semalam.

Mus, 49 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 4 Julai akibat demam panas sejak tiga hari sebelumnya.

Dia kemudian dipindahkan ke ICU Hospital Ampang untuk rawatan lanjut pada 5 Julai lalu.

Suraya ketika dihubungi berkata, suaminya perlu terus berehat kerana masih lemah akibat kesan ubat.

"Setakat ini abang Mus tiada respon lain kecuali buka mata. Apabila dengar namanya dipanggil, dia akan mengerlip matanya.

"Kalau saya nak bercakap dengan dia pun kena perlahan-lahan dan satu-persatu kerana dia masih dalam keadaan separuh sedar," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut penyakit suaminya, Suraya berkata, doktor menjelaskan ia berpunca daripada masalah darah.

"Ia bukan kerana demam denggi kerana doktor mengesahkan ia salah-satu penyakit berkaitan darah.

"Doktor mencuci darahnya serta menggantikan darah baru dan platlet darahnya kini meningkat kepada bacaan 76. Ia perkembangan yang baik," katanya.

Menurut Suraya, sebaik tempoh dos ubat tidur tamat, doktor membuat ujian supaya Mus batuk dan respon yang diberikan amat baik.

"Dua kali dia batuk dan kini sudah mampu buang air besar. Mungkin abang Mus akan ditahan untuk seminggu lagi di ICU sehingga dia benar-benar pulih.

"Saya kini perlu banyak berinteraksi dengannya untuk mengembalikan semula ingatannya supaya dia cepat pulih," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2017 @ 7:51pm
d