rap

Tiada titik noktah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Impiannya untuk membawakan watak putera raja dalam teater La Galigo tidak kesampaian kerana pementasan ditangguhkan atas alasan tertentu.

Bagaimanapun, ia bukan menjadi noktah penamat buat Amar Asyraf terus terbabit dalam lakonan TV dan teater.

Amar, 31, kini kembali fokus dengan kariernya dan terbaru berlakon telefilem berjudul Anak Abah bergandingan dengan Izara Aishah arahan Rusdi Ramli.

“Kami kembali bergandingan selepas drama Kasih Najihah pada 2011 dan telefilem Ramadan Terindah Nuraini sempena Ramadan lalu. Dia adalah pelakon hebat.

“Saya juga gembira kerana turut berlakon di samping Haeriyanto Hassan dan Zarina Zainuddin. Saya pernah berlakon dengan mereka lama dahulu dan mereka juga hebat, manakala Rusdi pula pelakon yang sangat saya kagumi pada era slot Spektra,” katanya.

Amar juga gembira kerana berpeluang berlakon filem pertamanya Blok 404 The Movie yang menampilkan ramai nama besar antaranya Fasha Sandha, Zamarul Hisham, Raja Azrey, Risteena dan Aedy Ashraf.

“Teruja rasanya kerana saya melakonkan watak utama dan terbabit dengan pelakon asal filem yang mencetuskan fenomena ketika dihasikan dalam bentuk video cakera padat (VCD), 16 tahun lalu,” katanya.

Amar turut menggunakan pengalaman luasnya dalam teater dengan mengajar teater kepada pelajar Universiti Profesional Teknologi Mara (KUPTM) dan bakal mengadakan pementasan pertama mereka.

“Kami akan mementaskan teater monolog berjudul Laut Lebih Indah Dari Bulan, Aku Mahu Jadi Bintang dan Helang Tak Terbang Tinggi di Auditorium Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur pada 25 hingga 28 Julai ini.

“Ia berkonsep sebuah trilogi hasil gabungan skrip saya dan Namron. Pelajar saya terbabit sebagai unit produksi dan bukan sebagai pelakon kerana pelakonnya mungkin Amanda Misbun dan Ellie Suriaty,” katanya.

Kejar impian

Suami kepada Arna Salleh dan bapa kepada Amar Taufiq, 3, ini belum berhasrat menambah bilangan ahli keluarga dalam masa terdekat.

“Saya dan isteri belum terfikir lagi soal ini kerana nak bersungguh-sungguh kejar projek teater dan menghasilkan filem indie.

“Kami berusaha cari bajet dan belajar segala yang berkaitan antaranya bagaimana nak terbitkan filem dan buat bajet.

“Rasanya ini tahun yang tepat untuk saya jadi pengarah dan penerbit untuk filem dan teater. Bukan tak nak berlakon kerana itu minat saya. Tapi ada benda yang lagi besar saya nak kejar,” katanya.

Amar mengakui kurang berpuas hati kerana sering diberikan peranan yang hampir sama dalam lakonan.

“Kadang-kadang apabila buat rujukan sesuatu watak, saya terpaksa buat banyak kerja antaranya tukar itu ini, tapi saya anggap ini cabaran sebagai pelakon. Cuma saya nak lebih lagi dalam kerja kreatif.

“Tak dinafikan perasaan untuk sambung belajar pun ada. Tapi kalau begitu, saya kena tinggalkan kerjaya buat sementara sedangkan saya kena cari rezeki untuk keluarga. Jadi terpaksa saya tangguh dulu,” katanya.

Amar mengakui cabaran bekerja sendiri amat mencabar kerana memerlukan modal besar untuk melakukan sesuatu.

“Tapi tak semestinya saya kena kerja kuat dengan ambil tawaran berlakon setiap masa. Saya boleh buat kerja lain dan antara caranya ialah membangunkan produksi teater betul-betul.

Banyakkan buat pementasan dan mungkin wujudkan akademi teater dan lakonan sendiri.

“Ia impian saya dan bunyinya mungkin kurang bagus tapi saya memang minat mengajar orang berlakon,” katanya.

Amar berkata, mungkin ada segelintir pihak memandang remeh usahanya untuk mewujudkan akademi lakonan tetapi baginya pelakon memerlukan latihan berterusan.

“Bukan tiada orang yang lebih berpengalaman nak mengajar, tapi saya minat nak buat kelas persendirian lakonan seperti Ahmad Idham buat dengan menubuhkan Ahmad Idham Film Academy (AIFA).

“Di Hollywood akademi lakonan persendirian bukan sesuatu yang asing dan kita juga perlu buat begitu untuk membangunkan industri seni tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 11:27am
d