rap

Muahciked: Tahu maksud Kau Yang Satu

Oleh Ayda Jebat

Salam Ahad dan selamat bercuti semua. Adik nak ucapkan terima kasih kepada semua pembaca kolum Muahciked.

Lebih-lebih lagi, buat mereka yang memberi maklum balas untuk artikel minggu lalu mengenai tafsiran mimpi memang mengejutkan.

Ramai juga yang menghantar mesej dan e-mel kepada adik mengenai artikel itu. Apapun, harap semuanya baik-baik saja. Doakan adik selalu, ya!

Menariknya minggu ini, artikel adik bukan mengenai diri sendiri tetapi berkongsi pandangan terhadap filem Kau Yang Satu.

Adik sempat menghadiri tayangan perdana filem itu yang berlangsung di GSC Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini. Memang meriah terutama kehadiran ramai wakil media termasuk selebriti tanah air bersama kelab peminat mereka.

Apapun, Kau Yang Satu mendapat sentuhan pengarah hebat, Osman Ali yang mengadaptasi itu daripada novel karya Nia Azalea. Tambahan pula pelakon Rozie Rashid diberi tanggungjawab untuk mengolah dan menulis skrip filem itu berdasarkan novel asal.

Seperti yang diketahui, Kau Yang Satu adalah ‘bayi sulung’atau filem pertama diterbitkan Datin Zaiton Mohd Jiwa atau Kak Ton yang menerajui produksi Global Station.

Pun begitu, memang tidak boleh dinafikan karya sentuhan abang Osman kebanyakannya pasti menyentuh jiwa. Orang kata boleh buat mata bengkak sebab menangis. Begitu juga dengan Kau Yang Satu.

Karya menarik ditonton ini menjengah di seluruh pawagam tanah air pada 27 Julai ini dan jangan lupa datang menonton, ya?

Apapun, filem ini dibintangi oleh ‘abang long kawasan’, Aaron Aziz, heroinnya, Izara Aishah, dan dibantu pelakon hebat lain seperti Dr Soo Wincci, Hisyam Hamid, Rosnah Johari, Zaidi Omar, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Nak tahu apa sinopsisnya? Okey, adik ceritakan sedikit. Ia bermula apabila Datuk Mustaza ditimpa bencana di tengah lautan ketika memancing.

Beliau diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Sulaiman. Kerana ingin membalas budi, Datuk Mustaza bercadang menjodohkan anak lelakinya, Taufik dilakonkan oleh Aaron dengan anak Sulaiman, Salina (lakonan Izara).

Konflik bermula apabila Taufik sebenarnya mempunyai kekasih iaitu Isabella (Dr Soo Wincci) seorang model terkenal manakala Salina bercinta dengan Zulkifli (Hisyam Hamid).

Bagaimanapun, Taufik dan Salina akur dengan kehendak orang tua mereka dan setuju untuk disatukan walaupun hati tak rela. Jadilah, hubungan mereka ibarat orang asing walaupun tinggal sebumbung. Apatah lagi, Taufik begitu keras hati untuk menerima Salina sebagai isterinya.

Pun begitu, umpama pepatah carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Betul, ke? Maksudnya lebih kurang, bergaduh macam mana sekali pun, lama-kelamaan berbaik juga.

Maka, berputiklah bibit cinta antara Taufik dan Salina. Mereka pun melayari bahtera cinta dengan bahagia.

Macam biasalah, kalau tengah bahagia mesti ada duka dan cabaran ketika bercinta. Ibarat kata pepatah sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Wah! Hebat tak adik bermain kata sekarang ini? Hehe! Isabella tidak berdiam diri dan membuat dakwaan hamil hasil hubungan cinta bersama Taufik.

Salina pula jadi putus asa dengan perkahwinannya bersama Taufik. Apapun, dapatkah Salina menghadapi onak ranjau percintaannya bersama Taufik?

Apakah kesudahan nasib cinta mereka? Termasuk, apa yang akan terjadi pada Isabella?

Tahniah kepada semua pelakon yang sememangnya berjaya membawa watak masing-masing dengan baik.

Pada adik, Aaron memang comel dalam Kau Yang Satu. Walaupun dia nampak sado, garang, ganas tetapi dalam filem ini ada banyak babak lakonannya yang berjaya buat adik ketawa. Ada bakat jadi pelawak rupanya.

Izara pula tak payah cakap la, memang terbaik. Babak paling menarik bagi adik ialah ketika Salina nak cukurkan janggut Taufik. Memang buat ramai mak cik senyum sampai telinga! Hehe.

Bagaimanapun, paling penting adik nak ingatkan ialah kena faham mesej yang cuba disampaikan. Bagi adik, maksud ‘Kau Yang Satu’ itu sangat luas.

Kau Yang Satu membawa erti bagaimana hebatnya kuasa Tuhan merancang perjalanan hidup kita dan menyatukan kita bersama jodoh ditetapkan walau kuat dugaan melanda.

Ia juga membawa makna semakin kuat ujian itu sebenarnya menunjukkan betapa Allah sayangkan hamba-Nya. Oleh itu, jangan kita lupa pada-Nya, ‘Yang Satu’.

Sudah alang-alang adik bercerita, mesti anda semua hendak tahu kesudahannya. Jawapan adik, serbulah panggung wayang nanti.

Adik yakin ahli kelab Aaronators mesti tengah teruja. Apapun, insya-Allah selepas ini ada satu lagi filem karya abang iaitu Pinjamkan Hatiku akan menyusul.

Untuk filem yang ini, adik memang sarankan wajib tengok. Haha! Masih sempatkan promosi filem pertama lakonan adik.

Apapun, yang penting teruskan menyokong hasil karya penggiat seni tanah air. Ini kerana, kalau bukan kita yang sokong, siapa lagi?

#KauYangSatu

Disiarkan pada: July 16, 2017 @ 7:45am
d