rap

Matang dalam berhujah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Minggu pertama pentas Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima dibuka dengan positif apabila enam pendakwah muda berjaya menangani perasaan gugup apabila menunjukkan kematangan dalam berhujah.

Format berbeza ditampilkan musim ini apabila 12 peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dengan enam peserta beraksi pada minggu ini, manakala enam lagi pada minggu hadapan.

Program bersiaran secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin menampilkan enam peserta iaitu Muhammad Fahmi Zulkifly (Da’i Fahmi, 19, Melaka), Nor Zahirah Mohd Johari (Da’i Zahirah, 20, Kedah), Muhammad Luqman Hakim Othman (Da’i Hakim, 22, Selangor), Aiman Sufyan Aezman (Da’i Aiman, 27, Selangor), Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah (Da’i Syafiqah, 21, Selangor) dan Hanin Humaira’ Mohammad Akhir (Da’i Humaira’, 19, Kedah).

Mereka diberi cabaran menyampaikan tazkirah bertemakan Resepi Kehidupan dalam tempoh tiga hingga lima minit secara kreatif dan unik.

Da’i Fahmi mengupas topik Hebatnya Solat Sunat, Da’i Zahirah (Cinta Yang Diredhai), Da’i Hakim (Kasih Pada Makhluk Allah), Da’i Aiman (Bermusuh Dengan Zina), Da’i Syafiqah (#Terimakasih) dan Da’i Humaira’ (‘Kenalan Kita).

Semuanya menunjukkan persembahan yang baik dan memuaskan hati kecuali Da’i Humaira yang terlupa petikan ayat al-Quran ketika menyampaikan tazkirah.

Namun, bagi dua juri tetap iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Profesor Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail, semua peserta wajar dipuji kerana berani tampil di atas pentas yang besar.

Ustaz Zarifi yang ditemui menyifatkan persembahan semua peserta cemerlang jika dinilai pada usia mereka yang masih muda.

“Kecuali Aiman, yang lainnya masih belajar lagi. Walaupun muda, bicara mereka matang.

“Saya rasa ini sesuatu yang baik dan Da’i memang layak jadi pentas bagi menggilap pendakwah muda sebagai pelapis pendakwah sedia ada,” katanya.

Menurutnya untuk melahirkan pendakwah hebat, mestilah melalui proses latihan dan bimbingan.

“Saya anggap pentas Da’i adalah tempat latihan dan bimbingan buat mereka jadi pendakwah pelapis. Enam peserta sudah melalui pengalaman mereka dan proses pembelajaran bermula minggu pertama ini.

“Saya juga nampak mereka masih mencari identiti masing-masing. Kita perlu beri peluang kepada mereka dan dijangka pada minggu berikutnya barulah kehebatan mereka dapat dicungkil dan terserlah,” katanya.

Dr Sharifah Haayati turut bersetuju dengan pendapat Ustaz Zarifi dan memuji persembahan enam peserta ini.

“Saya tak letakkan penilaian tinggi pada persembahan pertama, tapi dapat lihat semuanya hebat belaka.

“Bagi saya, dengan keberanian, idea dan isi persembahan memang sangat bagus. Cuma saya tak boleh buat perbandingan dengan enam lagi peserta kerana belum melihat persembahan mereka,” katanya.

Datuk Ustaz Kazim Elias selaku Mursyid (ketua mentor) pula berkata, seperti musim lalu, 12 peserta ini diberikan ilmu dan persiapan secukupnya sebelum tampil beraksi di atas pentas.

“Mereka diberi latihan selama dua minggu ketika Ramadan lalu. Persembahan enam peserta awal ini melebihi apa yang saya inginkan dan memang tak dijangka.

“Persembahan mereka sangat baik. Cuma Humaira’ ada buat sedikit kesilapan tapi saya kagum dengan dia kerana tak menggelabah sebaliknya senyum dan berjaya teruskan sehingga tamat,” katanya yang turut berharap enam peserta minggu depan dapat mengikut rentak peserta minggu ini.

Dalam pada itu, beliau mahu peserta sentiasa berada dalam keadaan selesa di atas pentas dan memahami maksud ‘bahasa tubuh’.

“Mungkin sejak di bangku sekolah atau universiti, mereka terbabit dalam pidato, nasyid dan sebagainya.

“Saya selalu tegur mereka, jangan bawa budaya pidato sekolah atau universiti dalam Da’i kerana tak cantik. Saya nasihatkan mereka jangan membongkok kerana menampakkan badan mereka kecil dan kurang yakin diri,” katanya.

Menurutnya ini mungkin kebiasaan mereka, namun beliau mahukan kelainan termasuk menampilkan unsur sains dan fakta dalam tema tazkirah peserta.

“Saya cuba wujudkan isi yang sesuai dengan masyarakat sekarang. Enam peserta ini berjaya bawa fakta yang bagus. Rasanya ini yang penonton nak dengar,” katanya.

Ustaz Kazim turut dibantu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah sebagai Murabbi.

Kedudukan Da’i Pilihan Penonton minggu ini menyaksikan Da’i Zahirah berada pada kedudukan teratas, diikuti Da’i Hakim, Da’i Aiman, Da’i Fahmi, Da’i Humaira’ dan Da’i Syafiqah.

Semua mereka bersyukur dengan komen positif yang diberikan juri dan berjanji memperbaiki persembahan dan memberikan yang terbaik pada minggu seterusnya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 4:51am
d