rap

Tema menarik pikat Aman

Oleh Ramlah Zainal

Memulakan karier lakonan sejak 1991, pelakon berpengalaman Aman Graseka pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Seri Angkasa pada 1999 menerusi telefilem Amy Anuar.

Namanya juga mula meniti dalam dunia hiburan tanah air menerusi filem Cinta Kita bergandingan dengan Datin Sofia Jane pada 1995.

Sejak filem itu, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak yang juga bergelar pengarah ini terus berkecimpung dalam bidang seni hingga sekarang.

Pada usia 50 tahun, Aman masih aktif berlakon. Antara drama popular lakonannya ialah 7 Hari Mencintaiku di TV3 sebelum ini.

Terbaru, Aman kembali mengubat kerinduan peminat menerusi filem Hijabsta Ballet yang bakal ditayangkan 3 Ogos depan.

Selain Aman, filem diterajui penari profesional, Puteh Maimun Zahra ini turut menampilkan bakat baru seperti Danny Syazlee dan Afeera Rahman.

Tidak ketinggalan, barisan pelakon berpengalaman seperti Betty Benafe, Aida Khalida dan Keena.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Raja Aman Shah Raja Baharom Shah ini berkata, dia terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana tertarik dengan tema yang diketengahkan.

“Filem ini ada kelainan kerana ia mengupas isu Muslimah dan mengangkat tema keagamaan membabitkan aurat wanita.

“Ia juga kali pertama saya bekerja dengan pengarahnya, Syed Zulkifli Syed Masir. Saya melakonkan watak bapa moden, tidak banyak cakap serta memiliki seorang anak yang juga penari balet.

“Apa yang mencabar, watak saya tidak banyak dialog tetapi banyak bermain ekspresi muka dalam cerita ini,” katanya.

Aman berkata, dia juga tidak ada masalah bekerja dengan barisan pelakon baru dalam filem terbitan Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) dan Explosive Magic Sdn Bhd (EMAGIC) itu.

“Walaupun mereka pelakon baru tetapi masing-masing sedia untuk belajar ilmu lakonan. Contohnya, watak utama filem ini, Puteh Maimun yang melakonkan watak anak saya iaitu Adele juga bakat baru yang boleh diketengahkan.

“Mereka banyak bertanya dan mudah dibentuk. Sebelum penggambaran, kami bersama pengarah akan berbincang terlebih dulu,” katanya.

Temui pengganti

Selepas 15 tahun hidup menduda, Aman mengakui hatinya kembali terbuka untuk berumah tangga.

Menurut Aman, wanita bertuah yang berjaya mengetuk pintu hatinya ialah model dan pelakon baru, Reena Arina, 28.

“Pada usia sekarang, sudah tiba masanya untuk saya memikirkan semula soal berumah tangga. Saya mula terfikir untuk mencari wanita yang boleh menjaga makan minum dan sakit pening saya.

“Semuanya bermula apabila saya bertemu dengan Reena ketika menjalani penggambaran drama Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production Sdn Bhd pada April lalu di Perlis,” katanya.

Aman berkata, perbezaan usia selama 22 tahun juga tidak menghalang perhubungan mereka.

“Kami baru menjalin hubungan selama tiga bulan dan masih dalam proses mengenali hati budi. Saya tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan Reena nanti,” katanya.

Aman pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu pada 1997 tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama 10 tahun.

Hasil perkongsian hidup dengan Mas Idayu, mereka memiliki seorang anak Nurdayini Ashiqah, 19.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 4:51am
d