rap

Aku Cinta cecah 400,000 tontonan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Video muzik lagu Aku Cinta nyanyian duet Ernie Zakri dan Syamel kini mencecah lebih 400,000 tontonan sejak ia mula dimuat naik di YouTube seminggu lalu.

Perkara itu membuatkan Ernie, 25, terharu dan tidak sangka dengan sambutan diberikan apatah lagi dia dan Syamel perlu bersaing dengan beberapa lagu baru daripada penyanyi yang digelar ‘Budak Budak Baru Nak Up’.

“Alhamdulillah ini satu lagi pencapaian membanggakan untuk lagu ini. Sambutan itu mungkin disebabkan peminat sudah lama menunggu video muzik lagu ini iaitu selepas enam bulan lagu Aku Cinta dilancarkan. Sebelumnya pihak FMC Music hanya menerbitkan video lirik.

“Bagi saya bukan mudah nak meraih jumlah tontonan banyak dalam tempoh seminggu. Tetapi saya bersyukur kerana promosi awal lagu ini membuatkan peminat mulai jatuh cinta. Satu daripadanya pemilihan lagu ini sebagai lagu tema drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati yang ditayangkan di Astro Ria,” katanya.

Menerusi muzik video itu, Ernie digambarkan sebagai puteri manakala Syamel seperti putera raja.

Menurut Ernie yang popular dengan lagu Jangan Marah, konsep muzik video ala cinta fantasi ‘fairy tale’ itu idea daripada Syamel.

Malah, penghayatan Ernie dan Syamel dalam video muzik itu mendapat pujian peminat. Mereka beranggapan kedua-dua penyanyi ini boleh berlakon dengan baik.

“Sejujurnya tak susah nak memberikan ekspresi dalam video muzik itu. Dari segi penghayatan saya dan Syamel sudah biasa. Jadi tak ada masalah nak bawa ke dalam muzik video. Malah untuk berlakon dalam muzik video ini pun tak ada sebarang masalah.

“Bukan apa, jalan cerita sudah diperincikan terlebih dahulu. Pada masa sama, bonus untuk kami apabila Syamel mempunyai pengetahuan dalam pementasan ketika berada dalam AF. Sementara saya ada latar belakang muzik. Dua perkara itu digabungkan menjadi satu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, peminat juga meletakkan harapan tinggi untuk lagu ciptaan Syamel ini melangkah ke Anugerah Juara Lagu.

“Itu satu doa untuk kami. Sekiranya layak, alhamdulillah. Secara peribadi lagu ini memang kena dengan jiwa dan cita rasa saya. Saya bukan nak puji lagu Syamel, tetapi lagu ini memang ada kekuatan dari segi melodi dan lirik.

“Setiap penyanyi menginginkan lagu yang berkualiti. Ketika mula Syamel memperdengarkan lagu ini, saya terus bersetuju. Tambahan pula untuk lagu duet memerlukan keseimbangan. Jadi lagu ini cukup rasa. Tinggal lagi cara dan lontaran vokal kami,” katanya.

Ernie juga berterima kasih kepada pihak Astro yang mempertemukannya dengan Syamel untuk digandingkan dalam program Duo Star sehingga mereka bergelar juara.

Ditanya adakah selepas ini Ernie akan terus bekerjasama dengan Syamel sebagai rakan duet, Ernie tidak menolak perkara itu.

“Keserasian kami satu rezeki. Mungkin orang lain susah nak dapat seperti mana kami. Insya-Allah kalau Syamel sudi lagi, saya okey saja,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 9:18am
d