rap

Cinta buat Nadzmi makan hati

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Nadzmi Adhwa menjelaskan perpisahan dengan bekas teman wanitanya tahun lalu sedikit sebanyak memberi kesan dirinya sehingga mengalami penyusutan berat badan secara mendadak.

Dalam masa sama, penyusutan sebanyak 16 kilogram juga disebabkan tuntutan watak lakonannya untuk filem Safari Mall yang akan menemui penonton tahun depan.

"Selepas berpisah pada Oktober tahun lalu, saya semakin fokus bekerja dan menjaga penampilan. Kebetulan pihak produksi Safari Mall minta saya kuruskan badan dengan berdiet.

"Jadi, dengan ujian yang berlaku serta kurang makan membuatkan berat badan saya turun dengan cepat. Lagipun, boleh dikatakan setiap hari saya makan sekali saja kerana sibuk dengan komitmen di set penggambaran," katanya.

Menurut Adhwa, selepas berpisah dengan wanita yang dikenalinya hampir enam tahun itu, dia belum bersedia untuk mencari pengganti.

"Saya tiada masa untuk fikir soal cinta. Fokus saya kini hanya pada kerja selain mahu kumpul aset dan bantu keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2017 @ 7:08pm
d