rap

Penjara menanti

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Susulan isu membabitkan anggota kumpulan Bigbang, TOP atau Choi Seung-Hyun, 29, didakwa terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah, mahkamah akhirnya mengumumkan hukuman yang bakal diterima, Khamis lalu.

Rapper popular itu mengaku bersalah menghisap ganja pada empat waktu berbeza di rumahnya di Seoul, Korea pada Oktober tahun lalu.

Sehari selepas didakwa kerana menghisap ganja bulan lalu, TOP dimasukkan ke hospital selepas dipercayai mengambil ubat penenang berlebihan.

Tindakan itu dipercayai berpunca kerana dia mengalami tekanan akibat situasi yang menimpanya dalam tempoh itu.

Ketika tiba di mahkamah pada hari perbicaraan, TOP dilaporkan memberitahu media bahawa dia sangat menyesal dengan perbuatannya itu dan meminta maaf kepada semua peminat.

Pada 20 Julai tepat jam 1.50 tengahari, mahkamah dilaporkan berkata, pihak defenden (TOP) mengetahui segala tuduhan yang disabitkan ke atasnya dan mengaku bersalah.

“Kesalahan berkaitan dadah tidak saja mengganggu kesihatan individu malah memberi kesan negatif kepada masyakat secara keseluruhan.

“Disebabkan perkara itu, mahkamah tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman setimpal kepadanya. Pun begitu, mahkamah turut mengambil kira kejujuran pihak defendan yang insaf atas perbuatannya itu. Malah dia juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata pihak mahkamah.

Atas hal demikian, mahkamah mengumumkan TOP akan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan dan dua tahun pemerhatian. Dia juga dikenakan denda sebanyak RM45.

Ini bermakna penyanyi itu akan menghabiskan dua tahun dalam pemerhatian tetapi terus dihukum penjara selama 10 bulan sekiranya melanggar sebarang syarat dikenakan sepanjang dua tahun itu.

Dalam pada itu, TOP juga dalam posisi wajib menghabiskan khidmat negara mandatori.

Jika dia menerima hukuman penjara melebihi 18 bulan, dia akan diwajibkan berhenti menjalani khidmat itu dan diberi status khas.

Tetapi, susulan hukuman penjara dikenakan kurang daripada 18 bulan, agensi polis tempatan yang menjadi tempat selebriti itu menjalani khidmat wajib perlu memutuskan sama ada dia wajar meneruskan posisinya kini atau ditempatkan di posisi baru.

TOP mempunyai baki 520 hari lagi bagi menjalani khidmat ketenteraan mandoriti.

Untuk rekod, penggunaan dadah jenis ganja untuk tujuan perubatan dan rekreasi diharamkan di Korea Selatan.

Individu yang didapati menghisap bahan itu boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sebanyak RM19,000.

Walaupun kumpulan Bigbang terpalit dengan kontroversi membabitkan TOP, mereka masih mampu untuk kekal optimis dengan pencapaian dilalui dalam tempoh ini.

Video muzik Fantastic Baby berjaya mencatat lebih 300 juta tontonan dan satu juta ‘Like’ daripada peminat awal Julai lalu.

Selain TOP, Bigbang turut dianggotai Taeyang, G-Dragon, Daesung dan Seungri.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 3:20am
d