rap

'Masih menunggu calon'

Oleh Najiy Jefri

Pelakon Mira Filzah, 24, bahagia dan gembira meniti hari mendatang apabila kerjaya seninya terus meluncur laju. Masakan tidak, kehadirannya kini bukan saja dalam bidang lakonan bahkan turut aktif dalam dunia pengacaraan.

“Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki kurniaan Ilahi. Satu persatu tawaran diterima dan dipermudahkan. Jujur saya katakan, tak sangka kehadiran diterima dengan cepat memandangkan terjun ke bidang ini pun secara tak sengaja.

“Walaupun sibuk dengan rutin kerja yang padat, saya bersyukur syarikat pengurusan menyusun jadual dengan baik. Saya memang tidak suka duduk diam. Lebih baik saya memenuhi hari dengan kerja asalkan dapat rehat yang mencukupi, itu sudah memadai.

“Tambahan pula, ibu bapa memberi kebebasan untuk saya mencuba pelbagai cabang dalam industri seni asalkan mereka dimaklumkan perkara yang dibuat,” katanya.

Ujar Mira, selepas apa yang dimilikinya hari ini, dia memegang impian untuk memastikan portfolio seninya dipenuhkan dengan tawaran yang pelbagai bagi mencabar kemampuan diri dan mengukuhkan namanya.

“Fokus saya kini untuk memastikan nama terus kekal relevan kerana tidak dapat mengagak apakah yang akan berlaku pada masa depan. Jadi saya hanya mampu teruskan apa yang sudah dibina dan kukuhkan jenama saya supaya terus berkembang,” katanya.

Selain soal kerjaya, pemilik nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman itu tidak terkecuali diasak soalan siapa gerangan kumbang yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

Meskipun sering dihujani persoalan cinta dan pernikahan, dia berkata selagi belum bersuami soalan ‘wajib’ itu ‘ditelannya’ dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya tidak pernah tolak untuk berkasih-kasihan, saya juga tidak tolak untuk ke jenjang pelamin pada bila-bila masa. Cuma jodoh saja belum tiba. Barangkali perjalanannya tersekat akibat kesesakan jalan raya,” gurau Mira.

Adakah dia bimbang jika soal hatinya dikongsikan dengan khalayak tatkala namanya sedang dipuja ramai, jelas Mira dia tidak bimbang, tetapi masih menunggu calon yang terbaik.

“Saya teringin akhiri hubungan cinta dengan baik, tetapi masih menunggu. Tidak guna untuk mendesak membuat keputusan demi kesenangan hati pihak lain. Saya percaya masa itu akan tiba jua, cuma bukan sekarang.

“Lagipun, tiada apa yang perlu dirahsiakan apabila bergelar anak seni. Lambat-laun peminat dapat hidu juga dengan siapa saya berkawan,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 2:47pm
d