rap

'Saya berkawan dengan seseorang'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Pemergian anak angkat kedua penyanyi Azharina iaitu Rizqie Azharin Azhar pada Mac lalu meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.

Selepas beberapa bulan berlalu, Azharina, 32, mengakui sudah boleh menerima takdir dan ketentuan Allah SWT. Pada masa sama, juara program Gegar Vaganza musim ketiga (GV 3) itu tidak menolak sekiranya diberikan rezeki menjaga anak angkat lagi.

“Saya belum ada perancangan ke arah itu lagi tetapi tak tolak kalau ada rezeki. Malah saya berlapang dada untuk menerima.

“Macam arwah Rizqie pun saya tak pernah merancang. Semua itu kurniaan Allah SWT tetapi dia pergi dulu meninggalkan saya. Bagaimanapun, saya bersyukur Rizqie dipinjamkan meskipun tak lama,” katanya.

Enggan bersedih lagi, Azharina membuka kehidupan peribadinya yang sudah beberapa tahun menjadi ibu tunggal. Walaupun dia belum bersedia untuk berkongsi secara mendalam rahsia hatinya, Azharina mengakui sedang berkawan dengan seorang lelaki berstatus duda yang juga ahli perniagaan.

“Sejujurnya belum ada sesiapa yang istimewa di hati dan macam orang lain juga saya berkawan dengan sesiapa saja. Saya serahkan urusan rezeki dan jodoh kepada Allah SWT. Sekiranya ada yang serasi dan sesuai, saya okey.

“Cuma tak dinafikan sekarang ada seorang saja yang berani mendekati saya. Kami pernah keluar bersama tetapi turut ditemani rakan dan pekerja saya. Kiranya kami ‘dating’ beramai-ramai. Saya mengelak keluar berdua kerana status ibu tunggal sering di salah anggap masyarakat. Pada masa sama saya tak mahu timbulkan pelbagai cerita negatif,” katanya.

Namun, Azharina menjelaskan masih terlalu awal untuknya bercerita mengenai perkenalan itu kerana mereka baru berada pada fasa berkawan dan mengenali hati budi.

Paling penting, lelaki itu seorang yang matang dan menerima kehadiran anak lelakinya, Rahmad.

“Dia orang biasa saja dan mempunyai perniagaan sendiri. Apa yang pasti dia bukan suami orang. Buat masa sekarang kami perlukan masa untuk lebih mengenali diri masing-masing. Sama macam orang lain, kami juga berhubung setiap hari bertanya khabar.

“Lagi satu, dia seorang yang ‘cool’, tak cemburu dan faham kerjaya saya sebagai artis. Itu membuatkan saya selesa berkawan dengannya,” katanya.

Single baru

Selepas melancarkan single Sekian Terima Kasih, Azharina bakal muncul dengan single duet berjudul 1000 Cinta bersama penyanyi Indonesia, Rizal Badila.

“Lagu itu ciptaan Rizal sendiri dan dia juga yang memilih saya untuk berduet. Insya-Allah, bulan depan saya nak promosikan lagu itu di semua stesen radio tempatan. Saya berasakan lagu itu mempunyai keunikan sendiri dan yakin ia akan diterima baik pendengar.

“Ini kali pertama saya menyanyikan lagu genre balada rock dan tak sabar tunggu reaksi peminat,” katanya.

Terdahulu Azharina ditemui pada majlis rumah terbuka Lebaran Bersama Azharina dan Azharina Angels di Subang Jaya. Berkongsi mengenai majlis itu, ia julang kali diadakan sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi.

“Majlis ini lebih kepada penghargaan kepada media dan peminat. Ikut perancangan saya nak buat selepas GV3 tempoh hari tetapi masa tidak mengizinkan. Alhamdulillah selepas segala perancangan diatur, majlis berjalan dengan lancar.

“Dianggarkan lebih 500 tetamu hadir. Ada juga peminat yang datang dari Brunei, Singapura, Sabah dan Pahang. Kesungguhan dan sokongan mereka itu membuatkan saya terharu,” katanya.

Pada majlis itu Azharina turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dari Pusat Tahfiz Nurul Iman.

Turut hadir beberapa rakan artis seperti Ernie Zakri, Salima Mahmood, Sharifah Zarina, Rina Azhar dan Shahri.

Disiarkan pada: July 24, 2017 @ 3:42pm
d