rap

Vida tak peduli tak kecil hati

Oleh Najiy Jefri

PENGASAS Vida Beauty Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida tidak berkecil hati dengan kutukan dan kecaman segelintir pihak terhadap single sulung nyanyiannya, I Am Me.

Vida berkata, sudah menjadi lumrah jika ada yang suka atau tidak berpuas hati, namun ia bukan halangan untuknya meneruskan minat terhadap dunia nyanyian.

"Memang sukar untuk memuaskan hati semua orang. Saya tiada masa untuk melayan segala kritikan negatif. Kalau nak ambil pusing kata-kata orang, saya takkan berada di sini.

"Saya percaya yang mengutuk itu sebenarnya sukakan lagu ini. Entah-entah dalam diam sama-sama menyanyi lagu I Am Me," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Vida, dia juga tidak kisah apabila ada segelintir masyarakat memperlekeh dan mempermainkan lagu terbabit, termasuk menukar lirik asal kepada bahan jenaka seperti 'ayam mee' asalkan matlamat menjadikan lagu ini tular dan menjadi siulan tercapai.

Dalam masa sama, dia bersyukur video lirik rasmi lagu karya Edry KRU itu kini sudah ditonton lebih 2.3 juta kali di YouTube.

"Ini sungguh luar biasa. Dalam masa seminggu saja video lagu ini sudah ditonton lebih 2.3 juta kali. Boleh saya katakan, lagu ini antara gelombang baru yang pantas mendapat tempat di hati pendengar.

"Saya sangat teruja dan seronok melihat ramai yang menyanyikan lagu saya, malah muncul pelbagai video parodi I Am Me di media sosial.

"Bagi saya, matlamat saya untuk memastikan lagu ini menjadi siulan ramai tercapai. Saya juga berharap lagu ini mencuri tumpuan dan tular di luar negara," katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 7:38pm
d