rap

Kes rasuah SPRM diolah jadi drama

Oleh Nor Akmar Samudin

Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kes jenayah rasuah yang semakin menjadi isu serius di negara ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan saja melancarkan kempen ‘GERAH’ dan ‘3J’ malah mereka menerbitkan drama 13 episod berjudul Banteras.

SPRM bekerjasama dengan Fantasy Films Sdn Bhd dan drama itu diarahkan Ghaz Abu Bakar dengan barisan pelakon hebat Namron, Khir Rahman dan Sangeetha Krishnasamy.

3J merujuk kepada ‘Jangan hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle’. Manakala GERAH pula maksudnya Gerakan Revolusi Anti Rasuah yang bertujuan mengubah minda masyarakat agar membenci, menolak dan akhirnya bersama-sama dengan SPRM.

Menurut Ghaz, dia memegang amanah daripada SPRM mengarahkan drama itu setanding drama antarabangsa yang disiarkan menerusi saluran perkhidmatan strim video terbesar iaitu Netflix.

“Saya diberikan bajet yang selesa untuk membuat kerja yang teliti dan menghasilkan produk berkualiti. Penggambaran mengambil masa tiga bulan bermula September depan. Rakaman dibuat di sekitar Lembah Klang dan jika ada rezeki kami bekerjasama dengan produksi Hong Kong untuk satu episod.

“SPRM memberi input kes yang berlaku dalam negara. Kes itu sudah selesai dan ditutup, namun saya perlu mengolahnya sebaik mungkin agar tidak menyentuh sensitiviti sesiapa. Pembikinan drama ini bukan bertujuan menjatuhkan maruah sesiapa, tetapi memberi kesedaran kepada orang ramai kerana amalan rasuah bukan saja merosakkan masyarakat, malah boleh menjatuhkan negara.

“Drama ini mendidik masyarakat mengenai aktiviti yang boleh diklasifikasikan sebagai rasuah. Banteras juga memaparkan cabaran yang dilalui pegawai pencegah rasuah serta tindakan yang diambil sepanjang operasi,” katanya.

Dalam perkara itu, jelas Ghaz lagi, SPRM bersikap terbuka kerana ada juga pengawai SPRM terbabit dalam perbuatan tidak bermaruah, tetapi dalam drama perlu dijelaskan sebab dan mengapa dia melakukannya.

Ujar Ghaz, drama itu bergenre serius dan aksi, tiada komedi dan percintaan.

“Mengarahkan drama ini juga adalah proses pembelajaran bagi saya kerana perlu belajar selok-belok skop tugas pengawai SPRM dan saya menjadikan drama penyiasatan British sebagai rujukan.

“Memandangkan ia drama berat dan membabitkan emosi mendalam setiap pendokong watak, penggambaran untuk satu episod saya buat dalam enam hari kerana tidak mahu bebankan pelakon dengan jadual kerja yang terlalu padat kerana mereka perlu berehat sebelum meneruskan rakaman untuk episod seterusnya,” katanya.

Perjalanan setiap kes

Banteras mengisahkan kehidupan seorang pegawai pencegahan rasuah sejak zaman pengajiannya di Akademi Pencegahan Rasuah sehingga berkhidmat dengan SPRM.

Namron diberi watak sebagai Penolong Pesuruhjaya SPRM bernama Mukhriz. Dia pekerja yang sangat dedikasi dan amat mencintai tugasnya. Bagaimanapun, akibat sikapnya yang rajin bekerja, keluarganya terabai sehingga wujud krisis dengan anak perempuannya.

Khir Rahman pula adalah Senior Superintendent bernama Aziz. Dia digambarkan seorang yang alim, tetapi sebenarnya memiliki akhlak yang rendah dan kelemahan Aziz ialah perempuan. Dalam diam, Aziz sudah ada tiga isteri menyebabkan dia berdepan masalah kewangan.

Sangeetha pula memegang watak Serena, pelajar jurusan undang-undang yang menyertai SPRM untuk membanteras rasuah berikutan kehilangan teman baiknya.

Menurut Ghaz, pemilihan ketiga-tiga pelakon itu sangat tepat dan Sangeetha adalah graduan Undang-Undang daripada Universiti London External di Kuala Lumpur, namun dia memilih lakonan sebagai kerjayanya.

“Pastinya Sangeetha amat memahami selok-belok dunia perundangan dan tidak kekok bawa watak pegawai SPRM. Banteras juga melihat perjalanan setiap kes daripada kaca mata Serena.

“Ia boleh dikatakan seperti drama Quantico membabitkan pelajar sebuah akademi yang dilatih membanteras jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2017 @ 4:50am
d