rap

'Dia budak baik'

Oleh Susunan Michelle Gun

Belum reda kontroversi konsert jelajah dibatalkan, Justin Bieber mencetus masalah baru apabila terlanggar seorang jurugambar di Los Angeles, Amerika Syarikat, Rabu lalu.

Bagaimanapun, jurugambar Maurice Lamont enggan menyalahkan Bieber sebaliknya mempertahankan penyanyi berusia 23 tahun itu dengan mengatakan kejadian terbabit tidak disengajakan.

“Dia budak baik. Trak itu mungkin agak besar untuk dipandu Bieber dan mustahil dia boleh melihat apa yang ada di depan dengan jelas. Ketika itu, dia berada di kawasan bukit,” katanya menerusi Instagram, Khamis lalu.

Memuji sikap ihsan Bieber, Lamont berkata penyanyi Despacito itu segera memberhentikan kenderaan itu untuk memeriksa keadaannya, malah turut menunggu selama 10 minit sehingga paramedik tiba.

Menurut TMZ, pada malam kejadian Bieber baru selesai menghadiri sesi ibadat di gereja Hillsong sebelum mendapati dikelilingi ramai paparazi.

Dalam keadaan terburu-buru meninggalkan lokasi, penyanyi terbabit dengan tidak sengaja melanggar Lamont yang kebetulan berdiri di laluannya.

Masih mahu menyanyi

Perkembangan terbaru karier muziknya, Bieber belum menjelaskan sebab sebenar membatalkan konsert jelajah Purpose World Tour yang diumumkan Isnin lalu.

Difahamkan, dia masih mempunyai 14 persembahan untuk melengkapkan jelajah selama dua tahun itu.

Terbaru, Bieber dikatakan mahu berehat menyanyi selama dua tahun untuk mendalami agama.

Selain itu, ada sumber mendakwa penyanyi terbabit sudah merancang menubuhkan gereja sendiri.

Bagaimanapun, ada sumber mempercayai Bieber membatalkan konsert kerana jualan tiket kurang memberangsangkan.

Namun, Bieber menjelaskan kepada peminatnya dia masih mencintai muzik dan akan kembali aktif menyanyi apabila tiba masanya.

Menurut TMZ, sumber memberitahu penyanyi itu juga akan membuat konsert jelajah satu hari nanti tetapi bukan membabitkan persembahan dua tahun berturut-turut seperti Purpose World Tour.

Sementara itu, pencipta lagu Poo Bear, Skrillex dan John Shahidi yang sering bekerjasama dengan Bieber menyokong keputusan penyanyi itu.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 12:59pm
d