rap

Rezeki air tangan Fazley

Oleh Norhadiani Baharom

Kunjungan kali pertama ke Taipei, Taiwan pada Mei tahun lalu bagaikan langkah kanan buat Datuk Dr Fazley Yaakob, 39.

Demonstrasi masakan udang galah masak lemak cili api dan kuih puteri mandi yang dilakukannya bagi mengisi inti pati perjalanan atur cara yang disusun pihak penganjur itu tanpa disangka dia dinobat juara.

Fazley juga tidak menyangka segmen demonstrasi itu adalah satu pertandingan terutama ia turut membabitkan cef terkemuka di Taiwan dan negara lain.

Kejayaan itu pastinya cukup membanggakan. Apatah lagi ia mendapat liputan menyeluruh media Taiwan, Jepun dan China.

Menu air tangan Fazley itu bukan saja dipilih sebagai pemenang, tetapi berjaya menarik perhatian Biro Pelancongan Taiwan untuk melantiknya sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan.

Pengumuman cef tinggi lampai yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi, pengacara, pelakon dan penceramah motivasi ini sebagai duta berkenaan dilihat tepat berikutan kecintaannya untuk mendidik sekali gus memberi kesedaran kepada umum terutama pelancong mengenai aspek pelancongan halal di Taiwan.

Pelantikan secara rasmi itu berlangsung pada Pameran Kulinari Taiwan 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Taiwan, pada 23 Julai lalu bersaksikan delegasi dari Malaysia terdiri daripada wartawan hiburan tempatan yang mencuri tumpuan ramai apabila memperagakan pakaian tradisional Melayu.

“Saya sangat bersyukur dengan pelantikan ini. Kalau ikutkan saya sudah memulakan tugas dan tanggungjawab sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan sejak bulan lalu, tetapi untuk acara pelantikan secara rasmi adalah seperti yang berlangsung ini.

“Saya tertanya-tanya juga kenapa menjadi pilihan mereka. Kriteria diukur bukan saja kerana latar belakang saya dalam bidang kulinari tetapi juga pengalaman di bidang hiburan. Menu seperti udang galah masak lemak cili api dan kuih puteri mandi adalah hidangan yang boleh diterima masyarakat Taiwan,” katanya.

Menurut Fazley yang juga juara MasterChef Selebriti Malaysia ini, dia gembira dengan pelantikan itu yang bertujuan menggalakkan pelancongan halal di Taiwan sekali gus menepis sebarang perasaan waswas atau kurang yakin pelancong luar terutama dalam kalangan orang Islam untuk berkunjung ke Taiwan.

“Masih ramai yang tidak tahu banyak kemudahan untuk orang Islam disediakan di Taipei. Antaranya makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat dan penyediaan sejadah serta tandas awam bersesuaian kegunaan kita. Tidak hanya itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan untuk mencari restoran atau kafe halal di sana.

“Secara total, Taiwan sebuah negara yang mesra pelancongan halal. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menggalakkan pelancongan di Taiwan bukan sahaja kepada rakyat di Malaysia tetapi juga Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya.

Banyak yang halal di Taiwan

Fazley turut memuji Biro Pelancongan Taiwan dalam memartabatkan halal bukan saja dari segi masakan tetapi juga adab.

“Paling membuatkan saya terharu apabila mereka mengatur beberapa pertemuan dengan pihak pengurusan hotel terkemuka di Taiwan untuk saya berkongsi maklumat mengenai makanan halal dan cara yang betul dalam mempraktikkannya.

“Kebanyakan hotel bertaraf lima bintang di Taiwan menyediakan makanan halal untuk pelancong. Mereka juga mengasingkan perkakas dapur untuk masakan halal dan tidak halal. Bukan itu saja, gelas dan pinggan mangkuk yang digunakan turut mempunyai label halal,” katanya.

Antara hotel yang menyediakan masakan halal ialah Shangrila Leisure Farm, Grand Hotel Taipei, Ambassador dan Palais de Chine Hotel Taipei.

“Semua hotel ini adalah lokasi saya bersama rakan media ditempatkan. Semua restoran yang kita kunjungi juga adalah lokasi untuk pelancong mencari makanan halal,” katanya.

Fazley berkata, dia berharap pelantikan itu dapat menjadi pembuka pintu untuk orang ramai menanyakan sebarang soalan atau permasalahan berkaitan pelancongan halal di Taiwan.

“Mereka boleh bertanya terus kepada saya di semua medium laman sosial sama ada Instagram, Facebook atau Twitter (@fazleyyaakob),” katanya.

Mahu perluas karier ke Taiwan

Ibarat sambil menyelam minum air, Fazley turut merancang meneruskan karier seni di Taiwan dan bakal menjalani penggambaran video muzik lagu dalam album berbahasa Mandarin tidak lama lagi.

Pada masa sama, Fazley turut bercadang mencari rakan kongsi untuk membuka cawangan restoran miliknya iaitu Suka Sucre Bistro dan Restoran Mamanda di sana.

“Sebelum ini saya menjadi jambatan dunia kulinari di antara Malaysia dan Singapura, kini sebagai penghubung kulinari halal di Taiwan pula,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Dalam pada itu, rombongan selama lima hari empat malam itu turut dibawa ke lokasi pelancongan menarik seperti Tea and Rice Resort, Leofoo Village Theme Park dan Yehliu Geopark.

Lawatan Teroka Halal Di Taiwan Bersama Fazley anjuran SukaSucre Creatives dan Uprising Entertainment Sdn Bhd ini dengan media tempatan ini mendapat sokongan dan kerjasama penuh Biro Pelancongan Taiwan.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 1:59am
d