rap

Kembali rakam lagu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Ditipu orang yang paling dipercayai iaitu pengurus sendiri amat melukakan hati penyanyi era 1980-an, Sherrie Al Junied.

Dia yang ketika itu berusia pertengahan 20-an dan popular menerusi lagu Cinta Waktu Hujan Turun ciptaan Datuk M Nasir dan lirik Siso nekad membatalkan kontrak dengan syarikat rakaman serta berhijrah meninggalkan Singapura.

Sherrie atau nama sebenarnya Sharifah Nor Syed Mohd Aljunied, 58, memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia rakaman suara tetapi kekal sebagai penghibur di kelab malam di Eropah, Thailand, Indonesia dan Hong Kong.

Bagaimanapun, ujian yang dilaluinya tidak terhenti di situ kerana tiba-tiba mengalami kemalangan serius pada 2003 di Singapura hingga mengakibatkan pinggulnya remuk teruk dan terpaksa berehat sehingga 2006.

Sherrie berkata, akibat kemalangan itu, berat badannya bertambah sehingga mengalami tekanan perasaan.

“Sememangnya hidup saya tak terlepas daripada ujian. Bagaimanapun, saya tak berdiam diri apabila belajar terapi semula jadi dari Jepun iaitu ‘reiki’ dan memanfaatkannya bagi proses pemulihan diri,” katanya.

Dengan kesungguhannya menuntut ilmu, Sherrie kini bergelar ‘reiki master’ bertauliah dan sudah mengajar sejak 13 tahun lalu. Dia juga turut berkebolehan mengajar tarian zumba.

Mengambil apa yang berlaku, Sherrie kembali merakam lagu dan memilih berkongsi pengalaman yang dilaluinya menerusi single terbaru berjudul Seorang Wanita yang dipasarkan sejak Mei tahun lalu di bawah Goodsound Publishing/ Life Records.

Sherrie berkata, dia menghasilkan single Seorang Wanita bagi menutup mulut segelintir pihak yang sering mempertikai apa yang dilakukannya.

“Bagi mereka pada usia ini saya tak boleh buat pelbagai perkara sedangkan yakin boleh melakukannya,” katanya.

Sherrie mengakui ada yang tidak percaya umurnya sudah hampir mencecah 60 tahun kerana aksinya amat agresif ketika mengajar zumba.

“Saya mengajar zumba secara aktif lapan jam seminggu dan setiap kelas memakan masa sejam tanpa henti.

“Rasanya dengan pengalaman dan apa yang ada, amat memadai untuk saya berkongsi dengan masyarakat,” katanya.

Sokongan suami dan anaknya Deomar Shahrudean, 36, turut menjadi perangsang pencapaian serta kejayaannya hari ini.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 1:26pm
d