rap

Dalami ilmu lakonan

Oleh Nor Akmar Samudin

Baru saja menceburi dunia lakonan tanah air, Ohi Ghazali, 36, sudah mendapat beberapa tawaran berlakon.

Namun, menyedari kekurangan dirinya dalam selok-belok lakonan, dia akan mengambil kelas lakonan daripada pelakon berpengalaman.

Biarpun teruja dengan tawaran yang datang, dia tidak boleh menerimanya begitu saja kerana tak mahu memberi masalah kepada kru produksi dan pelakon lain di lokasi.

“Memang saya tak sangka begitu cepat tawaran datang tetapi masalahnya perasaan malu masih menebal dalam diri dan sukar menghafal dialog.

“Saya pernah mendapat skrip untuk uji bakat watak inspektor polis dalam drama Vila Ghazara arahan Feroz Kader tetapi mungkin bukan rezeki apabila watak itu terlepas ke pelakon lain.

“Melihat orang berlakon nampak mudah tetapi apabila skrip sudah berada di tangan, menggigil dibuatnya,” katanya.

Baru-baru ini, Ohi menimba ilmu lakonan dengan pelakon veteran, Fauziah Nawi dan dia juga akan menyertai kelas lakonan pengarah dan pelakon Zul Huzaimi yang akan diadakan selama sembilan seminggu.

Pada September ini pula, Ohi akan menyertai bengkel lakonan kendalian Roslee Mansur. Tenaga pengajarnya ialah Ogy Ahmad Daud, Along Kamaludin dan Khir Rahman.

“Mereka adalah antara pelakon terbaik. Walaupun tahu ketegasan Kak Ogy dalam mengajar, saya tak kisah asalkan dia boleh bantu menjadi pelakon yang bagus,” katanya.

Menurutnya, sebagai orang baru dia terima apa saja watak kerana dia perlu menimba pengalaman terlebih dulu,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 1:28pm
d