rap

Hospital bantu pembentukan skrip

Oleh Nor Akmar Samudin

Konflik keluarga sentiasa menjadi taruhan dalam penerbitan drama kerana di sebalik gambaran indah dipaparkan kepada masyarakat, sebenarnya tiada kehidupan yang terlalu sempurna.

Kemewahan dan kemegahan yang dibanggakan dalam sebuah keluarga kaya raya dan ternama, belum tentu penghuninya hidup bahagia.

Itulah situasi yang cuba digambarkan dalam drama 40 episod, Vila Ghazara arahan Feroz Kader yang akan mengisi slot Samarinda (TV3) November ini.

Menurut Pengurus Produksi, Zaidi Mat Zin, 43 atau lebih dikenali sebagai Botak, Vila Ghazara mengutarakan konflik keluarga pakar bedah kosmetik yang disegani iaitu Dr Ghazaly Baqri (Dr Ghaz) lakonan Mustapha Kamal dan isteri, Zaharah Mustakim (Haleeda). Sikap menantu perempuan mereka, Sofea (Tunku Anis) menambahkan lagi onar dalam keluarga itu.

Pasangan itu mempunyai lima anak lelaki iaitu Zarul (Syed Aiman), Andrian (Aidil Aziz), Dazrin (Hafeez Mikail), Shukri Yahaya (Hariz) dan Azrel (Amirul Faqeem).

Ujar Botak, pihak produksi bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada pusat pakar kecantikan terkemuka di ibu kota, Beverly Wilshire Medical Centre yang menjadi lokasi utama drama itu.

“Selain konflik keluarga, drama ini berkisar kepakaran Dr Ghaz dalam bidang pembedahan kosmetik lantaran itu penggambaran banyak dilakukan di hospital terbabit. Bagaimanapun, penggambaran hanya dilakukan pada hari Sabtu kerana tidak mahu mengganggu privasi pelanggan dan menimbulkan masalah kepada pihak hospital.

“Bagi mendapatkan gambaran yang betul mengenai dunia pembedahan kosmetik bukan saja daripada sudut kecantikan tetapi juga kesihatan, pihak hospital banyak membantu kami termasuk pembentukan skrip yang menggunakan perkataan dan ayat yang betul dalam dunia perubatan,” katanya.

Jelas Botak lagi, Pengurus Pemasaran Kanan hospital itu, Wendy Yon, banyak membantu mereka dan dia sanggup bersama produksi menunggu di hospital sehingga penggambaran selesai.

Penggambaran drama itu akan dilakukan dalam dua blog iaitu episod satu hingga 20 dan produksi akan berehat sekejap sebelum menyambung penggambaran episod 21 hingga 40. Penggambaran bermula Jun lalu dan penggambaran blog pertama sudah siap.

Menerbitkan Vila Ghazara adalah cabaran kepada syarikat penerbitan Excellent Pictures Sdn Bhd kerana kali pertama slot Samarinda menyiarkan drama sehingga 40 episod.

“Mungkin TV3 mahu melakukan pembaharuan dan ini cabaran bagi kami untuk memastikan jalan cerita tidak meleret. Vila Ghazara diadaptasi daripada drama Mexico namun ia diberi sentuhan tempatan untuk disesuaikan dengan masyarakat di negara ini.

“Saya yakin penonton akan tertarik untuk menonton drama ini sehingga ke akhir episod dengan jalan cerita dan plot yang sentiasa mendebarkan perasaan penonton,” katanya.

Di sebalik kemewahan dan karisma yang ada pada Dr Ghaz, rumah tangganya dengan Zaharah turut diuji kerana Zaharah bukanlah satu-satunya isteri Dr Ghaz.

Jangan lupa untuk menyaksikan drama ini bagi mengetahui rahsia, pergolakan dan kemelut keluarga itu serta apakah pengakhirannya.

Ringkasan drama

Vila Ghazara mengisahkan kehidupan Dr Ghazali atau Dr Ghaz bersama isterinya, Zaharah atau Zara (Haleeda) dan lima anak lelaki mereka, menantu perempuan yang suka menimbulkan masalah, pengasuh dan cucu mereka.

Mereka sekeluarga menetap di mahligai yang indah namun adakah mereka benar-benar bahagia?

Dr Ghaz berada di kemuncak kejayaan dalam kerjayanya. Dia bukan saja diiktiraf sebagai pakar bedah kosmetik disegani ramai, bahkan mampu berbangga dengan kedudukannya sebagai ahli lembaga pengarah sebuah hospital swasta terkemuka di tanah air.

Secara tidak langsung, kejayaan dan kekayaan Dr Ghaz membuatkan dia dikelilingi wanita, sama ada yang mahukan khidmat daripada ‘tangan emasnya’ (kerana berjaya dalam setiap pembedahan kosmetik yang dilakukannya) atau mahu menumpang kesenangannya?

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 2:18am
d