rap

Motivasi Aiman agar peminat rajin belajar

Oleh Norhadiani Baharom

PENYANYI remaja Aiman Tino, bakal melancarkan jenama pakaian sekolah pada Oktober nanti.

Idea untuk mengusahakan perniagaan ini tercetus kerana ramai peminat penyanyi lagu Rela Di Benci itu terdiri daripada pelajar sekolah dan pra sekolah.

"Ramai peminat saya terdiri daripada remaja dan kanak-kanak yang masih bersekolah selain pra sekolah. Saya terfikir untuk mengeluarkan jenama pakaian sekolah kerana ia secara tak langsung dapat menyuntik semangat mereka untuk ke sekolah.

"Saya ingin menggalakkan mereka supaya rajin belajar dan ia menjadi misi perniagaan ini,” katanya.

Aiman, 19 berkata, dia memilih sendiri fabrik sesuai dengan mengutamakan kualiti agar si pemakai berasa selesa.

"Saya memilih kain kapas berkualiti tinggi dan seleksi pakaian sekolah ini tersedia untuk pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Baru sahaja melancarkan single ketiga berjudul Ku Hanya Sayang Padamu, Aiman ditanya mengapa gemar mengutarakan soal kematian dalam lirik lagu-lagunya.

Menerusi single Ku Rela Dibenci terdapat bait lirik yang berbunyi 'menghitung menunggu mati' manakala single kedua pula 'meskipun maut mendatang'.

Khabarnya single ketiga penyanyi itu juga terdapat cebisan emosi yang sama.

"Untuk single ketiga ini langsung tiada perkataan mati. Kalau ada yang membangkitkan isu ini mungkin kerana mereka salah faham dengan bait lirik Izinkan ku Pergi.

"Pada pendapat saya isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan kerana mengingatkan pada kematian ada disebut dalam al-Quran. Bukannya lirik pada lagu saya mendorong membunuh diri.

"Lagipun lirik yang ditulis ayah saya hanya secara kebetulan dan sesuai dengan melodi lagu. Kalau diubah perkataan mati atau maut itu kepada perkataan lain, keseluruhan jalan cerita jadi lain pula," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 6:31pm
d