rap

Nekad kerana kata-kata bapa

Oleh Mazizul Dani

“Dia belum bersedia untuk menjadi pengantara.”

Ringkas tetapi kata-kata itu cukup ‘menjentik’ hati Mas Zharif Zhafri Abdul Azid, 24 tahun, anak sulung bekas pengacara terkenal TV3 dan TV9, Allahyarham Aziz Desa.

Ungkapan itu diucapkan Allahyarham kepada isterinya, Raden Nor Azlina Raden Jumari, 51, kira-kira setahun yang lalu ketika Zharif menjadi jurucakap dalam satu majlis keluarga.

“Ibu maklumkan saya perkara ini dan sejak itu timbul kesedaran dalam diri perlu belajar macam mana mahu bercakap dan menyampaikan sesuatu perkara.

“Kata-kata itu juga membuatkan saya nekad berubah daripada seorang yang pendiam kepada individu yang berkeyakinan tinggi dan tahu apa yang diperkatakan,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.

Zharif yang pada mulanya cenderung meneroka dunia teater dan lakonan akhirnya jatuh cinta pada bidang penyiaran yang sudah sebati dengan jiwa arwah bapanya.

“Saya penuntut Ijazah Sarjana Muda Filem dan Televisyen dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebelum menjalani latihan industri di TV9. Saya mula jatuh hati dengan dunia penyiaran apabila sering menjadi ‘pemandu’ arwah untuk ke Sri Pentas ketika hayatnya.

“Saya belum cukup berbakti kepada arwah ayah kerana sebahagian dirinya tidak percaya saya mewarisi bakatnya. Nampaknya, dia tidak sempat tengok saya jadi pembaca berita. Namun, dia sempat tengok saya berlakon,” katanya.

Zharif menyambung legasi Aziz Desa apabila diperkenalkan sebagai wajah baru penyampai Berita TV9 dalam satu sidang media baru-baru ini dan dijangka mula bersiaran bersama penyampai berpengalaman pada 1 September 2017.

“Saya bersyukur apabila dipilih sebagai wartawan dan pembaca berita. Terkejut pun ada. Asalnya nak masuk bidang lain tetapi akhirnya ikut jejak langkah arwah. Saya gembira dapat belajar perkara baru.

“Sudah pasti ada yang akan membandingkan saya dengan arwah. Bagaimanapun, saya ada cara tersendiri dan berusaha mencari identiti sendiri,” katanya yang berjanji menjaga nama baik bapanya.

Zharif berkata, dia akan pegang pesanan bapanya sepanjang berkecimpung dalam bidang itu.

“Antara pesan arwah adalah jika mengacara dan bercakap perlu jelas serta lantang, banyakkan membaca untuk dapatkan pengetahuan dan jujur dalam membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, wanita yang tular di media sosial sejak 24 Julai lalu apabila wajahnya dikatakan iras pelakon dan pengacara Neelofa iaitu Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 22 tahun, turut diumumkan sebagai wajah baru Berita TV9.

Seperti Zharif, Hawa Rizwana juga generasi kedua penyambung legasi bapanya dalam dunia penyiaran iaitu bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) sekitar 90-an, Ahmad Redzuan Abdul Rahman.

“Saya meminati dunia kewartawanan dan penyiaran sejak di bangku sekolah. Walaupun ibu pada awalnya kurang bersetuju saya mengikut jejak bapa, dia akur apabila sudah tertulis rezeki apabila dipanggil menghadiri uji bakat ketika menjalani latihan industri pada Mei lalu.

“Saya sudah bersedia menghadapi cabaran baru dalam hidup. Bagi saya hidup ini satu pembelajaran. Jadi saya bersedia untuk melakukan yang terbaik, akur kekurangan diri dan cuba perbaiki dari semasa ke semasa,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Hawa Rizwana yang berdarah keturunan Arab, Siam dan Aceh itu bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan persamaan wajahnya dengan Neelofa tetapi mengakui mengagumi kejayaan artis itu.

“Dia sangat bijak, saya kagum dengan pencapaiannya. Kebijaksanaan dan kejayaannya yang patut dicontohi,” katanya.

Hawa Rizwana yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat mula menjalani latihan sebagai penyampai berita Jun lalu ketika masih mengikuti latihan industri sebagai wartawan penyiaran untuk program Wanita Hari Ini (WHI).

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 2:04am
d