rap

Nikki Sixx buat novel grafik

Oleh Payatt

Selepas menerbitkan buku biografinya The Heroin Diaries : A Year in the Life of a Shattered Rock Star pada September 2007, pemain bass Motley Crue, Nikki Sixx, 58, bakal melancarkannya semula dalam format novel grafik pula tahun ini.

Ia sempena ulang tahun ke-10 biografi tulisan Sixx bersama Ian Gittins. Akhbar New York Times meletakkan ia antara biografi paling laris selepas dipasarkan pada 18 September 2007.

Novel grafik setebal 150 muka surat itu diterbitkan Nikki dengan kerjasama syarikat penerbitan Heavy Metal.

Peminat yang berkunjung ke Comic-Con di San Diego, Amerika Syarikat, baru-baru ini berpeluang ‘membaca’ beberapa muka surat novel grafik itu di kios Heavy Metal.

Ketua Pegawai Eksekutif Heavy Metal Jeff Krelitz berkata, dia peminat setia Motley Crue sejak mereka tampil dengan album sulung Too Fast for Love pada 1981.

“Saya amat menghormati Nikki dan lagu ciptaannya. Jadi, peluang bekerjasama dengannya amat besar buat saya dan syarikat. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan,” katanya.

Biografi The Heroin Diaries berdasarkan diari yang ditulis Nikki di antara Disember 1986 hingga Disember 1987.

Ia menceritakan kisah ketika Motley Crue menjalani rakaman album keempat Girls Girls Girls diikuti dengan konsert jelajah mereka.

Ia juga menceritakan mengenai ketagihan Nikki terhadap heroin yang menyebabkan dia hampir mati akibat pengambilan bahan terlarang itu secara berlebihan pada penghujung 1987.

Peristiwa itu menyebabkan tiga lagi anggota Motley Crue iaitu Vince Neil (penyanyi), Mick Mars (gitar) dan Tommy Lee (dram) membuat keputusan menghentikan terus tabiat pengambilan dadah.

Apa yang menarik, pada hari pertama dipasarkan, buku itu habis dijual!

Bercerita mengenai The Heroin Diaries, Nikki berkata, buku itu cukup peribadi buatnya.

“Idea menghasilkan novel grafik berdasarkan biografi saya itu amat menarik. Lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan jenama Heavy Metal yang cukup popular. Sejak kecil saya membaca majalah terbitan mereka.

“Saya terbabit hampir 100 peratus dalam projek ini. Bermula dari jalan cerita hingga konsep seninya,” katanya.

Menurut Nikki, peluang bekerjasama dengan Jeff, pelukis Rantz Hoseley dan pasukannya memberi pengalaman menarik buatnya.

Katanya, novel grafik The Heroin Diaries juga diberi sentuhan berbeza yang lebih menarik.

“Ia hadiah buat peminat The Heroin Diaries sama ada yang tua atau muda. Saya harap anda semua akan gembira dengan novel grafik ini sebagaimana saya gembira ketika menghasilkannya untuk anda,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 12:28am
d