rap

Aktif belakang tabir

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Selepas kontraknya bersama syarikat pengurusan tamat pada 2015, pelakon Zalif Sidek dilihat terus menyepi dari dunia seni.

Ekoran daripada itu, ramai beranggapan kurang paras rupa dan berbadan gempal membuatkan pelakon berasal dari Kuala Terengganu ini berhadapan masalah untuk memenuhi tuntutan watak.

Tambah pula sekarang kebanyakan drama menampilkan hero berwajah kacak dan begitu juga dengan pelawak menyebabkan Zalif susah untuk cari makan walaupun dia memiliki bakat.

Ditemui baru-baru ini bagi membicarakan hal itu, kata Zalif dia akui akan situasi yang didepani tetapi dalam waktu sama ramai pihak masih beranggapan dia masih terikat dengan pengurusan MIG.

“Sebelum ini sewaktu bersama syarikat pengurusan, jadual saya selalu penuh. Ini kerana pihak pengurusan sudahpun mengatur projek sama ada membabitkan drama bersiri dan filem.

“Apabila terikat dengan pihak pengurusan, ada produksi luar berasa payah mendapatkan khidmat saya. Jadi dalam fikiran mereka, ada baiknya mereka tidak menawarkan watak walaupun sesuai dengan diri saya kerana tidak mahu masalah jadual akan memberikan masalah kepada mereka,” katanya.

Apabila kontraknya tamat, Zalif atau Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek akui ramai pihak tidak tahu dan secara tidak langsung mempengaruhi kerjaya seninya hingga kurang mendapat tawaran.

“Apabila situasi seperti ini timbul saya terpaksa bermula semula. Ibaratnya seperti orang baru yang perlu merencana kembali kerjaya seni. Walaupun tidak aktif di depan kamera, saya banyak terbabit dengan kerja-kerja di belakang tabir,” katanya.

Pelakon dikenali menerusi filem Papa I Love You itu berterima kasih kepada Angah Raja Lawak yang membuka peluang untuknya bekerja di belakang tabir. Waktu sama, Zalif turut menubuhkan produksi sendiri, Shapeway Entertainment.

“Sewaktu dengan Angah Raja Lawak, saya membantunya menghasilkan program Sembang Pacak. Saya dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengurus pentas.

“Dalam waktu sama, saya bangunkan produksi sediri. Pengalaman yang ada saya mohon lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), gaji yang saya dapat hasil bekerja di belakang tabir saya gunakan untuk menerbitkan program di bawah produksi sendiri,” katanya.

Bagaimanapun rezeki masih berpihak kepada Zalif apabila dia mula membuat kemunculan apabila wajahnya menghiasi iklan di TV bermula dengan KFC, kemudian Wanda Coffee dan terbaru dilantik menjadi wajah Expedia dan terbabit dengan beberapa kempen dijalankan.

“Saya menjadikan iklan yang saya bintangi sebagai pembuka jalan untuk aktif kembali. Rezeki datang daripada produksi yang saya pernah bekerjasama sewaktu menghasilkan iklan untuk Digi dan Maxis.

“Alhamdulillah iklan KFC yang saya jayakan dimuat naik di laman sosial ditonton lebih 3 juta orang. Malah tidak dinafikan berlakon iklan agak mewah kerana bayarannya tidak jauh beza dengan telefilem dibintangi dengan tempoh bekerja yang lebih singkat,” katanya.

Mula sebagai pelakon iklan pada 2007 kemudian menyertai KRU Studios sebagai Eksekutif Promosi, Zalif mula dikenali apabila memegang watak utama filem Papa I LOve You bersama Lisa Surihani.

Katanya, dia sudah merasai naik dan turun dalam kerjaya seni dan bersyukur iklan yang dibintangi membuatkan banyak produksi buka mata dan menawarkannya untuk berlakon.

Mengenai peribadi, Zalif yang sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Rafidah Ibrahim tetapi hubungan mereka putus di pertengahan jalan kemudian pada 2015 dikatakan bakal bertunang dengan gadis sekampung, sehingga kini masih sendiri.

Zalif akui tiga kali bercinta dan semuanya putus di tengah jalan. Katanya, buat masa ini dia tidak mahu lagi memikirkan soal itu walaupun dalam usia 32 tahun adalah lingkungan usia yang baik untuknya berkahwin.

“Apakan daya segalanya bergantung kepada jodoh dan ketentuan Allah. Bohonglah kalau saya kata tidak tertekan dengan situasi yang saya hadapi.

“Malah sewaktu balik kampung beraya baru-baru ini, ramai yang bertanya. Selagi belum bernikah selagi itu soalan terbabit akan ditanya,” katanya.

Tegas Zalif, dia sendiri sudah penat untuk mencari dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan. Tambah pula dengan usia kini dia berasakan rutin hidupnya juga sudah berubah.

“Sekarang saya lebih banyak duduk di rumah dan jarang bersosial, lagilah susah untuk bertemu jodoh. Bagaimanapun, saya senang dengan kehidupan sekarang. Penat bekerja terus pulang ke rumah dan berehat.

“Saya banyak memikirkan soal bagaimana hendak membangunkan produksi yang diusahakan dan percaya sekiranya rezeki saya murah, jodoh akan datang dengan sendirinya.

“Waktu itu saya tidak mahu bercinta lama-lama. Kalau sesuai saya mahu terus bernikah,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 3:27am
d