rap

Engku Emran kahwin pelakon Indonesia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BEKAS suami pelakon Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 42, bakal menikahi pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada pertengahan bulan depan.

Menurut sumber, pasangan itu bakal disatukan sebagai suami isteri dalam majlis pernikahan yang akan diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menghubungi Engku Emran bagi mengesahkan berita ini tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

Berita ini turut menjadi tumpuan media Indonesia dengan mendapatkan kenyataan daripada Bella di Pondok Pinang, Jakarta, hari ini.

Bagaimanapun, pelakon filem Syurga Yang Tak Dirindukan 2 ini memilih untuk mengunci mulut dan hanya tersenyum apabila diajukan soalan ini.

Dia yang dikawal beberapa individu memilih meninggalkan lokasi dan terburu-buru berjalan menaiki kereta jenis Toyota Alphard berwana hitam.

Pasangan ini mula berkenalan apabila dipertemukan pelakon Nora Danish dan suaminya Nedim Nazri pada Mac lalu.

Mereka mengambil masa selama lima bulan untuk mengenali hati budi masing-masing dan dalam tempoh itu Bella pernah hadir ke rumah penyanyi Amy Search dengan ditemani Engku Emran.

Dalam pada itu, Bella juga banyak berkongsi gambarnya bersama Engku Emran di Instagram.

Engku Emran yang berkahwin dengan Erra pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia lapan tahun.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 7:25pm
d