rap

Akshay lega tidak lagi diejek Twinkle

Akshay Kumar, 49, lega kerana selepas menang Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Filem Kebangsaan ke-64, baru-baru ini, isterinya yang juga pelakon, Twinkle Khanna, 42, tidak lagi mengejeknya.

Ini kerana semua ahli keluarga isterinya yang berlakon pernah memenangi anugerah.

Twinkle anak kepada pasangan pelakon, Rajesh Khanna dan Dimple Kapadia. Adiknya, Rinke Khanna dan ibu saudaranya, Simple Kapadia juga berlakon.

Twinkle pernah menggondol beberapa anugerah utama antaranya Pelakon Wanita Baru Terbaik (Filmfare -1996), Penulis Wanita Terbaik India (2017), Outlook Award 2016 - Wanita Inspirasi dan Anugerah Crosswork Book (2016).

Kemenangan Akshay menerusi lakonannya dalam filem Rustom itu bagaimanapun menjadi kontroversi.

“Sejak 24 tahun lalu, saya perhatikan siapa pun yang menang anugerah (Anugerah Kebangsaan) pasti ada saja orang yang tak puas hati. Saya dapat anugerah itu selepas 26 tahun berlakon dan kalau ada yang tidak suka saya menang, ambillah anugerah itu,” katanya.

Menyentuh mengenai rumah tangganya, Akshay berkata, dia bahagia jika Twinkle gembira.

“Kebahagiaan saya adalah jika dapat membahagiakan isteri kerana dia dan anak adalah segala-galanya bagi saya,” katanya.

Akshay akan muncul dalam filem terbaru berjudul Toilet Ek Prem Katha di samping Bhumi Pednekar.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 3:46am
d