rap

Stadium tetap hangat

Oleh Syanty Octavia Amry

Pertembungan dengan beberapa konsert lain pada hari sama sedikit pun tidak mencacatkan perjalanan Konsert Nova 2017 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu.

Sebaliknya persembahan daripada artis gabungan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia menghangatkan suasana dengan tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 penonton yang memenuhi stadium.

Nyata, persembahan Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Azlan Typewriter, Judika, Cakra Khan, Syahrini dan Mia Ismi dinantikan semua.

Aubrey Suwito pula bertanggungjawab sebagai pengarah muzik dalam memastikan mutu persembahan pada malam konsert itu berjalan sempurna.

Dihoskan Reza Mohamed, konsert dibawakan Suasana Enak Sdn Bhd itu memulakan persembahan pembukaan oleh Mia Ismi yang memukau hadirin menerusi gesekan biolanya.

Mia turut mendendangkan lagu seperti Fatwa Pujangga, Rather Be dan Kaulah Segalanya.

Bagaikan dinanti persembahannya, Faizal Tahir memulakan persembahan dengan lagu Assalamualaikum, Sampai Syurga, Mahakarya Cinta dan Sejati.

Malah Faizal turut berduet dengan Azlan menyanyikan lagu Kau Ilhamku.

Muncul dengan lagu Lelaki Teragung dan Separuh Mati Ku Bercinta, persembahan Dayang turut menyegarkan suara penonton untuk sama-sama bernyanyi.

Gabungan Cakra Khan dan Judika juga sangat hebat apabila persembahan mereka mendapat sorakan gemuruh penonton.

Ketika menyanyikan lagu duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza berjudul Seluruh Cinta, kelihatan Cakra tidak keseorangan apabila penonton tidak henti menyanyikan lagu bahagian Siti.

Persembahan Judika menerusi lagu Aku Yang Tersakiti juga mendapat sorakan dan penonton turut menyanyikan lagu berkenaan.

Walaupun himpunan lagunya kurang dikenali, kemunculan Syahrini nyata ditunggu ramai apabila dia tampil dalam busana indah bagaikan puteri seperti gelaran di Instagramnya, Princess Syahrini.

Ketika Syahrini berada di pentas, muncul pula pengasas produk kecantikan, Datuk Seri Vida yang hadir memberi sokongan buat Syahrini.

Berpeluang naik ke pentas dan beramah mesra dengan Syahrini, seperti yang sudah dijangka Vida terpukau dengan kecantikan pakaian serta mahkota yang dipakai penyanyi popular Indonesia itu.

Malah, Vida tanpa berselindung menyatakan hasrat mahu membeli mahkota dan baju yang dipakai Syahrini.

Vida juga turut mengambil peluang mempromosikan singlenya berjudul I Am Me. Syahrini yang begitu ‘sporting’ sudi menyanyikan lagu berkenaan mengikut gayanya sendiri.

Konsert yang berakhir hampir jam 12 tengah malam itu menutup tirai persembahan menerusi lagu berjudul Vivi La Vida yang dinyanyikan semua artis.

Pengerusi Suasana Enak Sdn Bhd Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya berkata, walaupun kehadiran penonton tidak menepati sasaran, pihaknya gembira kerana persembahan semuanya berjalan lancar.

“Kami akur mungkin keadaan ini berlaku kerana pertembungan dengan beberapa konsert yang lain.

“Namun kami gembira apabila melihat penonton terhibur dan artis juga berjaya memberikan persembahan yang menarik buat semua,” katanya.

Kamal berkata, pihaknya turut berhasrat mengadakan konsert berkenaan di Indonesia pula.

“Kami memang merancang membawa konsert ini ke Jakarta. Ini sebagai meneruskan perhubungan di antara Malaysia dan Indonesia.

“Namun masanya ia akan dibincangkan nanti. Sama ada tahun ini atau tahun depan kami masih memikirkannya,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 3:57am
d