rap

Alif cuba bidang baru

Oleh Michelle Gun

Kemunculan pertama Alif Satar dalam industri seni tanah air menerusi program realiti nyanyian stesen televisyen 8TV, One In A Million pada 2008.

Kini selepas 12 tahun berlalu, nama penyanyi berusia 27 tahun ini semakin kukuh dan turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara televisyen.

Bagaimanapun, bintang drama bersiri Dia Semanis Honey ini menyedari industri seni sentiasa dihadiri pesaing baru berbakat.

“Saya merancang mengembangkan bakat dengan mencuba bidang baru yang berkaitan dengan aliran seni,” katanya.

Alif yang kini mengendalikan program realiti Clever Girl mahu projek itu memberi inspirasi dan keseronokan kepada rakyat.

“Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi banyak mengenai rancangan ini kerana masih dalam perbincangan,” katanya.

Bercerita mengenai perjalanan karier seninya, penyanyi Lelaki Seperti Aku ini berkata pernah menerima bayaran sebanyak RM500 untuk persembahan di pentas.

“Permulaan sebagai penyanyi bukan mudah namun saya tidak berputus asa. Mujur keluarga sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan.

“Mereka tahu, saya perlu berusaha bekerja untuk mendapat wang. Bagi saya, rahsia mencapai kejayaan adalah dengan bersikap rendah diri,” katanya.

Mengutamakan keluarga

Dalam kesibukan mencari rezeki, bapa kepada dua anak ini tidak pernah melupakan tanggungjawabnya dan sentiasa mencari peluang untuk meluangkan masa lebih bersama keluarga.

“Sejak mendirikan rumah tangga, saya tidak boleh pentingkan diri dan akan berusaha mencari masa untuk bersama anak. Saya mahu melihat anak membesar di depan mata,” katanya.

Menurut Alif, dia hanya dapat menikmati waktu privasi selama sejam setiap hari apabila membuat senaman di gimnasium.

“Sekiranya perlu bertugas di luar kawasan, saya juga membawa bersama isteri dan anak,” katanya.

Alif berkahwin dengan Sha Dila Halid pada 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Alisha Anugerah, 2, dan Ariana Mecca yang kini berusia lima bulan.

Dalam perkembangan lain, Alif juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri Red Velvet bersama bintang popular Neelofa.

Pada masa sama, Alif juga akan tampil dengan single yang juga lagu tema filem Kau Yang Satu.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 4:14am
d