rap

Tidak bersandar populariti bapa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Mungkin ramai belum tahu gadis manis ini anak kepada komposer lagu terkenal era 80-an, Rosli Selasih.

Malah sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan, Tash Yong, 27, tidak pernah menjaja atau menjual nama bapanya sebagai batu loncatan untuk diterima dalam industri.

“Saya mulai serius dalam bidang lakonan pada 2013 iaitu ketika terbabit dalam pementasan teater Chow Kit Road di Istana Budaya. Sejak itu saya terus aktif dan cuba berlakon di kaca TV. Alhamdulillah satu persatu tawaran diterima.

“Telefilem pertama saya berjudul Kerana Anggun arahan Aziz M Osman membuka lebih banyak peluang selepas itu. Ramai bertanya kenapa saya tak gunakan nama ayah untuk ke depan. Bukan tak nak tetapi saya nak buktikan bakat sendiri.

“Tahun lalu barulah ada yang tahu saya anak Rosli Selasih. Sebelum ini saya selesa untuk tidak bercerita mengenai latar belakang saya. Tidak mahu nanti orang berfikir saya mahu tumpang populariti ayah. Apabila ada yang bertanya, barulah saya kongsi,” katanya.

Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli berkata bapanya sentiasa bertegas agar dia mencipta nama dengan usaha dan bakat sendiri.

Pada masa sama, Tash berkongsi bapanya tidak pernah memaksanya bergelar penyanyi biarpun pernah menyertai program realiti Mentor 3.

“Banyak kali juga orang persoalkan kenapa saya tak jadi penyanyi kerana ia pasti lebih mudah apatah lagi ayah seorang komposer. Sebenarnya kecenderungan saya lebih kepada berlakon.

“Minat menyanyi masih ada cuma buat masa sekarang saya mahu fokus kerjaya lakonan. Lagipun, ayah tak pernah memaksa saya dan adik-beradik lain menjadi penyanyi.

“Apa minat kami, ayah akan sokong. Asal saja kami masih berpijak di bumi nyata dan tidak terjebak dengan perkara yang boleh menjejaskan nama baik keluarga,” katanya.

Tash yang pelakon drama Marhaban Ko Me Oi yang ditayangkan di TV baru-baru ini merancang menyanyikan lagu ciptaan ayahnya.

Bagaimanapun, Tash mengakui belum sampai masa untuknya muncul sebagai penyanyi.

Ditanya mengenai persaingan dalam bidang lakonan, Tash tidak pernah berasakan dirinya ketinggalan meskipun jarang diberikan watak utama.

“Saya sentiasa berfikiran positif dan mahu menjadikan diri lebih kreatif. Kalau nak bersaing pun biar secara sihat dengan menimba ilmu daripada mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat memajukan diri.

“Apabila berada dalam bidang ini, saya kena berusaha. Selebihnya bergantung kepada rezeki. Tidak dinafikan kita ada ramai bakat baru yang bagus dan berbakat. Oleh itu, saya tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang ada sekarang,” katanya.

Perkembangan lain, Tash baru selesai menjayakan drama 60 episod berjudul Dia yang bakal ditayangkan di TV3.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 2:05am
d