rap

Tiga pelakon Korea Selatan terkejut [METROTV]

Oleh Michelle Gun

BARISAN pelakon filem Korea Selatan, The Battleship Island iaitu Song Joong Ki, So Ji Sub dan Hwang Jung Min terharu melihat sambutan luar biasa peminat ketika sesi ramah mesra di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, hari ini.

Acara itu menyaksikan hampir 10,000 peminat membanjiri perkarangan pusat beli-belah berkenaan dan lokasi berhampiran untuk bertemu dengan bintang popular Korea Selatan itu.

Barisan pelakon dan pengarah filem The Battleship Island itu baru tiba dari Singapura untuk mempromosi filem itu di Malaysia selepas berada di negara itu semalam.

Difahamkan, ada peminat sudah menunggu di hadapan pentas yang terletak di pintu utama Pavilion sejak tengah hari.

Dalam sesi ramah mesra selama 15 minit itu, Joong Ki berkata, ini kali pertama dia melawat Malaysia.

"Saya terkejut melihat sokongan anda semua dan terima kasih di atas layanan baik," katanya. Menurut bintang drama bersiri popular Descendants of the Sun itu, wataknya sebagai anggota Korean Independence Movement, Park Moo Young memang sukar.

"Saya tidak boleh bercerita banyak mengenai watak saya dalam filem ini kerana mahu awak menontonnya," katanya.

Filem The Battleship Island berdasarkan kisah benar rakyat Korea Selatan dikerah menjadi buruh lombong arang batu yang dikendalikan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Bakal menemui penonton di pawagam pada 17 Ogos ini, filem itu memecah rekod pecah panggung Korea Selatan selepas ditayangkan di negara itu bulan lalu.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 8:38pm
d