rap

Kecamlah Wak Doyok ok saja

Oleh Syanty Octavia Amry

PENGACARA dan ikon fesyen popular, Wak Doyok bersedia menerima kecaman netizen terhadap filem pertama lakonannya berjudul Abang Long Fadil 2 yang bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Ogos ini.

Wak Doyok, 37, atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor berkata, sejak awal dikenali dia sudah biasa dengan kritikan dan kecaman daripada orang ramai.

Justeru, walaupun berdebar dia bersedia dan terbuka menerima apa juga kata-kata daripada orang ramai terhadap lakonannya itu nanti.

"Saya bersedia menerima apa juga kritikan netizen jika mereka menyaksikan lakonan saya dalam filem ini. Namun, pada awal saya mempromosikannya banyak komen positif yang saya terima. Malah mereka tidak sabar menyaksikan filem ini dan mahu melihat saya beraksi," katanya.

Menerusi filem sulung lakonannya itu, Wak Doyok melakonkan watak gangster yang bergaya dan menjadi diri sendiri.

Dia sendiri tidak sabar menyaksikan keseluruhan filem ini apabila turut diberi peluang menjadi sebahagian daripada perunding imej pelakon.

"Selain berlakon saya juga diberi peluang membentuk imej pelakon kerana saya mahu watak gangster yang dilakonkan berlainan dan bukanlah seperti gangster mat rempit.

"Saya selesa kerana berpeluang bekerjasama dengan pengarah muda yang hebat seperti Syafiq Yusof malah dia terbuka menerima setiap pandangan daripada saya," katanya.

Abang Long Fadil 2 turut dilakonkan oleh Syamsul Yusof, Zizan Razak, Tania Hudson, A Galak dan ramai lagi.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 9:09pm
d