rap

Kandang penuh makna

Anak kecil main api, Terbakar hatinya yang sepi, Air mata darah bercampur keringat, Bumi dipijak milik orang.

Lagu keramat Warisan yang penuh maksud tersirat ini menjadi pilihan pengarah Omar Ali sebagai pembuka tirai teater Kandang yang akan menemui penonton di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), Jalan Sentul bermula malam ini sehingga 13 Ogos (Ahad).

Persembahan pada 10 hingga 12 Ogos ini akan berlangsung pada jam 8.30 malam, manakala pada 13 Ogos jam 3 petang.

Teater ini sebenarnya karya klasik George Orwell yang menggunakan judul Animal Farm dan kini diadaptasikan ke dalam bahasa Malaysia oleh Omar dan bapanya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Kandang adalah karya sastera klasik Inggeris namun adaptasi ke dalam bahasa Malaysia dibuat mengikut konteks budaya kepemimpinan tempatan.

Diterbitkan di England pada 1945, Animal Farm adalah sebuah novela alegori satira yang mencerminkan peristiwa Revolusi Russia pada 1917 dan kemudian ke era Kesatuan Republik Sosialis Soviet di bawah pimpinan Joseph Stalin.

Dua beranak ini tertarik memilihnya kerana mesej dan inti pati karya ini melangkaui masa serta masih relevan pada masa kini, terutama sebagai satu komentar terhadap budaya politik dan ekonomi serata dunia.

Kiasan hangat diperlihatkan menerusi dialog yang dilontarkan oleh barisan pelakon di atas pentas mungkin dapat mencetuskan minat dan memaut minda untuk menghayati inti pati cerita yang diketengahkan.

Kandang mengisahkan sekumpulan haiwan ternakan di Ladang Jones yang berjaya mengusir keluar tuan ladang dan mereka akhirnya meraih kemerdekaan.

Namun, janji manis kebebasan dan kemakmuran terbukti hanya janji kosong apabila mereka sendiri terjebak dengan pengkhianatan idealisme dalam bentuk korupsi serta kezaliman yang dilakukan golongan mereka sendiri.

Pelakon yang menjayakan Kandang ialah Clarence Kuna (Balau), Farah Rani (Bintaga), Faez Malik (Jalak), Ashraf Zain (Tunggal), Nik Waheeda (Pendek), Joe Chin (Gading), Zul Zamir (Markus), Nabil Zakaria (Bajak), Rezza Coebar (Pemuzik-Sudu) dan Endee Ahmad (Pemuzik-Santai).

Mereka dibantu Ho Lee Ching, seorang pelakon dan juga pengarah di klpac untuk mendalami karakter haiwan, manakala perekatari Yusman Mokhtar bertanggungjawab membentuk seni reka pentas diiringi oleh pereka tatabunyi Khairil Imran.

Pengunaan nama haiwan antaranya ayam (Jalak), kambing (Pendek), kerbau (Balau) dan babi (Tunggal) serta dialog ‘dedak’ mungkin menimbulkan persepsi kurang senang segelintir penonton terhadap teater ini.

Omar, 34, berkata, pementasan ini banyak diilhamkan peristiwa semasa. Dia membuat rujukan kepada kejadian kontemporari di dalam dan juga luar negara.

“Tujuan utama pementasan ini boleh ditafsirkan menerusi tajuknya, Kandang, yang secara literal boleh difahamkan sebagai ‘tempat atau ruangan berpagar’.

“Matlamat saya adalah untuk mempersoalkan dan meneroka maksud perkataan ini serta implikasi dan aplikasinya. Ruangan apa yang terpagar, sebenarnya?” katanya.

Mengulas pemahaman pihak tertentu yang mengaitkan teaternya dengan senario politik semasa, Omar meminta agar mereka bersikap terbuka.

“Ia hanya kemungkinan. Saya lebih suka membiarkan penonton buat interpretasi sendiri. Kita ada perbezaan pendapat dalam politik tapi perlulah bersikap terbuka.

“Cerita ini tak menyasarkan mana-mana pihak secara spesifik. Saya dan ayah dah berbincang, ia bukan untuk membenci mana-mana individu atau pihak tapi lebih kepada membenci perangai atau tabiat mereka yang melakukan kerosakan,” katanya.

Omar berharap semua pihak terbuka membicaraan perihal politik dan mereka tiada agenda untuk mengenakan sesiapa.

“Ia terbuka kepada penonton bagi menilai sendiri apa yang diketengahkan. Kami nak masyarakat membicarakannya kerana sebelum ini orang kita asyik naik angin apabila sentuh bab politik,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 3:21am
d