rap

Malam gala Titanic

Oleh Ardini Sophia Sina

Filem pecah panggung, Titanic bakal menyambut ulang tahun ke-20 pada Disember nanti. Ia dianggap karya agung kerana garapan kisah cinta tragis antara Jack dan Rose. Malah hingga ke hari ini ia masih diingati dan tersemat kemas dalam memori penonton dan peminat.

Heroin filem, Kate Winslet sewaktu ditemui pihak media berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-20 tayangan filem dibintangi itu akhir tahun ini dia mahu mengenang kembali zaman mudanya ketika menjalani penggambaran Titanic.

Katanya, secara ironi membicarakan mengenai filem terbabit tidak salah untuk dia melihat kembali kisah silam sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Kate berkata, ada banyak perkara yang membentuk keperibadiannya bukan hanya dalam kerjaya tetapi juga sebagai manusia selepas membintangi Titanic.

“Saya harus bersikap jujur. Berlakon dalam Titanic memberikan saya kebaikan merancang semua perkara untuk masa depan.

“Bayangkan ketika saya membaca skrip Jack dan Rose, babak lari keluar dari ruang makan yang ditenggelami air apabila penggambaran dijalankan untuk satu bahagian itu saja mengambil masa lima hari untuk disudahkan.

“Maklumat kecil itu dapat membantu saya untuk merancang apa yang perlu saya lakukan dan sisi mana yang harus saya kembangkan agar kelihatan lebih menarik dan mendebarkan penonton,” kata wanita yang pernah memenangi Academy itu.

Selepas kejayaan filem Titanic, Kate dan Leonardo DiCaprio sekali lagi digandingkan menerusi Revolutionary Road pada 2008. Bercerita mengenai gandingannya dalam Titanic, DiCaprio, aktres itu menyifatkan aktor popular itu sebagai seorang yang sangat setia.

DiCaprio dikatakan tidak pernah berubah sejak berlakon dalam filem epik berkenaan. Bagi Kate, aktor itu adalah seorang rakan yang baik bukan hanya untuk dirinya tetapi juga orang di sekeliling.

Kata Kate, walaupun dengan kehadiran ramai pelakon baru, DiCaprio masih lagi dianggap sebagai pelakon yang ‘kuat’ buat masa ini.

Kate juga dalam nada malu mengatakan DiCaprio semakin kacak berbanding sebelum ini.

Sebagai tanda ingatan pada filem yang melonjakkan nama mereka di persada seni Hollywood, Leonardo DiCaprio Foundation, syarikat milik pelakon itu menganjurkan Auction Gala dan dibuka kepada peminat tegar filem itu yang berminat untuk makan malam secara eksklusif bersama mereka.

“Bidaan bukan dengan niat mengaut keuntungan semata-mata. Sebahagian daripada hasil bidaan akan saya sumbangkan ke Golden Hat Foundation bagi membantu kanak-kanak yang menghidap autisme.

“Manakala Kate pula menerusi kempen GoFundMe turut berusaha untuk mengutip derma bagi membantu seorang ibu muda di Britain membiayai perubatan kansernya,” kata DiCaprio.

Kata DiCaprio, pada malam gala itu nanti, pembida turut dihiburkan oleh Lenny Kravitz dan majlis bakal dihadiri Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.

Selain itu, antara selebriti yang akan memeriahkan majlis dianjurkan termasuklah Madonna, Cate Blanchett, Emma Stone, Marion Cotillard dan Tom Hanks.

Sejak ditayangkan pada 1997, peminat filem romantik terbabit masih belum melihat mana-mana karya lain yang dapat menandingi garapan Titanic.

Walaupun kutipan filem Avatar dan Star Wars: The Force Awaken berjaya menenggelamkan karya cinta Jack dan Rose, namun ia masih istimewa di hati peminat.

Jika diimbas kembali, Titanic berjaya menduduki tangga teratas dalam carta filem pecah panggung selama 15 minggu berturut-turut.

Mula ditayangkan pada 19 Disember 1997, ia terus berada di kedudukan pertama sehingga April 1998.

Khabar angin mula bertiup, khabarnya syarikat produksi akan melakukan pembikinan semula filem berkenaan. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada pengesahan mengenainya daripada mana-mana sumber yang boleh dipercayai.

Bertanyakan hal itu kepada DiCaprio, pelakon itu menghargai ingatan peminat pada filem yang memaparkan kisah sedih pada penghujung cerita. Walaupun penamatnya bukanlah sesuatu yang menggembirakan tetapi ia masih berjaya menambat hati penonton.

“Saya tidak akan pernah lupa jasa filem itu terhadap karier saya. Selepas membintangi filem itu, tiba-tiba populariti saya naik mendadak. Satu dunia kenal saya dan dari situlah mereka mengikuti perkembangan saya.

“Saya bertuah kerana digandingkan dengan Kate. Saya berkenalan dengan seorang wanita yang bijak dan cantik. Dan masih sama sehingga ke hari ini. Saya gembira kerana masih bersahabat dengannya.

“Kalau ada produksi yang mahu melakukan pembikinan semula filem berkenaan harap ia akan menjadi lebih baik daripada Titanic 1997. Sekarang ini teknologi lebih moden dan banyak perkara boleh ditambah baik,” katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 4:20am
d