rap

Cabaran menari Ko Ko Bop

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Susulan pendedahan perincian jualan album untuk Julai lalu, kumpulan EXO hampir menduduki kedudukan rasmi sebagai artis yang berjaya menjual hampir empat juta (quadruple million) dengan album terbaru, The War.

Album studio baru itu dilancarkan pada 19 Julai lalu dan menurut carta bulanan Gaon, album itu berjaya dijual 959,417 salinan di Korea dan China. Lagu Ko Ko Bop menduduki carta paling tinggi selama tiga minggu berturut-turut.

Ia turut menjadi lagu paling hit pada musim panas di Korea. Lebih menarik, kejayaan lagu itu turut diraikan peminat melalui cabaran koreografi unik yang tular di seluruh dunia.

Cabarannya peminat perlu rakam video sendiri atau sesiapa saja menari koreografi asal Ko Ko Bop diikuti gaya tertentu selama lagu itu dimainkan, terutama sebelum lirik ‘down, down, baby!’.

Pada masa ini, ‘hashtag’ #KoKoBopChallenge sudah tular di laman sosial Twitter dan banyak video berkaitan mula dimuat naik peminat setia EXO dari seluruh dunia.

Selain itu, album dan lagu baru EXO juga berjaya menunjukkan perkembangan baik dalam beberapa carta muzik tempatan dan antarabangsa.

The War juga berterusan menduduki carta mingguan dan mampu mencapai tahap memberangsangkan dalam masa beberapa minggu ini.

Imbas kembali pada 2013, EXO kumpulan Kpop pertama dalam tempoh 12 tahun berjaya menjual lebih sejuta salinan melalui album pertama. Malah mereka juga melepasi angka sejuta melalui album kedua pada 2015.

Tahun lalu mereka berjaya menjual tiga juta (triple million) melalui album EX’ACT dan album dipakej semula, LOTTO.

Selama bertahun-tahun, status mereka tidak dicabar mana-mana kumpulan. Tapi untuk berada di tahap itu bukan perkara mudah.

EXO pernah berdepan persepsi terlalu sempurna kerana aksi pop mereka dilahirkan tanpa banyak kerenah.

Mereka juga berdepan dengan dasar perkhidmatan tentera yang diwajibkan kepada semua anak muda Korea Selatan yang terpilih, sekali gus menyebabkan kumpulan itu pernah direhatkan selama dua tahun.

Tidak hairanlah apabila muncul dengan album baru, nama mereka mencanak naik dalam kalangan peminat baru dan lama.

Namun, mereka juga mempunyai kumpulan anti-EXO. Antaranya beberapa netizen mengkritik Starbucks Korea kerana sering memasang lagu EXO di premis perniagaan mereka.

Alasan netizan, ia tindakan berat sebelah dan tidak pandai membezakan antara urusan perniagaan dengan pilihan peribadi.

Dalam pada itu, seorang anggota EXO, Kai bakal muncul dalam drama terbaru berjudul Andante.

Drama itu mengisahkan seorang jejaka dari bandar yang ditukarkan ke sebuah sekolah tinggi misteri di kawasan pedalaman.

Di sekolah itu, dia bertemu dengan pelbagai kejadian misteri dan cinta sejati.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 4:24am
d