rap

Kempen haji taraf antarabangsa

Oleh Nor Akmar Samudin

Sempena sambutan Aidiladha pada 1 September ini, TV AlHijrah memilih ‘tagline’ Duyufurrahman yang membawa erti Tetamu Allah.

Sudah menjadi tradisi TV AlHijrah setiap tahun terus kekal sebagai stesen pilihan penonton setiap kali tiba musim haji.

Selain peningkatan peratusan jumlah penonton yang mengikuti program istimewa pada musim ini, jumlah ‘like’ yang diterima pada setiap informasi atau poster yang dikongsi di media sosial TV AlHijrah turut meningkat lebih 50 peratus daripada jumlah ‘like’ pada waktu harian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Izelan Basar berkata, tahun ini TV AlHijrah dengan tema Go Global membawakan kempen haji bertaraf antarabangsa khas buat tontonan penonton setianya.

“Empat rangkaian televisyen Islam dunia sudah dikenal pasti akan bekerjasama menjayakan kempen haji TV AlHijrah iaitu stesen televisyen ITV Networks Afrika Selatan, Darshana TV India, Al-Quds TV Lubnan dan U’budiyah Televisi Indonesia.

“Kerjasama akan terjalin menerusi pertukaran program istimewa haji seperti beberapa siri Dokumentari Khas Kota Mekah dan Dokumentari Kiswah Kaabah. Program itu hanya akan bersiaran di TV AlHijrah,” katanya.

Menurut Izelan, TV AlHijrah turut menerbitkan beberapa program memenuhi keperluan rohani setiap penonton, menepati cita rasa dan sesuai untuk tontonan setiap peringkat usia.

Antaranya Ustaz Pilot, Interaktif Haji, Labbaikallah dan Kaabah Berganti Kiswah.

Ustaz Pilot yang diterbitkan sebanyak lapan episod mula bersiaran sejak 9 Ogos lalu setiap Rabu jam 9 malam.

Ia dikendalikan Ustaz Luqmanul Hakim sebagai pakar rujuk haji. Kandungannya berkisar mengenai ibadah haji seperti Kad Jemputan Allah, Hebatnya Haji, Haji Rasullah, Haji Kecil, Haji Besar, Munajat Arafah, Munajat Masyair dan Haji Kamil.

Labbaikallah mula bersiaran sebanyak 18 episod sejak semalam setiap hari jam 10 malam. Ia diacarakan Ustaz Datuk Dr Izhar Ariff dan Ustazah Hafizah Musa.

Ia adalah program perdana TV AlHijrah yang disiarkan secara langsung dari Studio TV AlHijrah untuk memberi laporan terkini mengenai operasi haji di Makkah. Ia juga akan memberi pelbagai tip dan panduan kepada bakal haji serta ilmu buat semua penonton.

Interaktif Haji juga yang sudah bersiaran 10 Ogos lalu setiap Khamis dan Jumaat, jam 10 pagi memberi peluang kepada penonton untuk berkomunikasi secara dua hala bersama panel yang dijemput untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan ibadah haji yang dikendalikan Ustaz Harriyanto dan Ustaz Ghazali Ibrahim.

Selain itu, program Kaabah Berganti Kiswah yang dikendalikan Imam Muda Asyraff dan Datuk Dr Ustaz Izhar akan ditayangkan pada 31 Ogos ini jam 10.30 pagi.

Ia adalah program bual bicara ilmiah memaparkan sejarah serta segala informasi berkaitan pertukaran kain kiswah.

Terkenal sebagai tradisi yang diamalkan sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, kain kiswah atau kelambu Kaabah akan diganti baru pada setiap musim haji.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 2:52am
d