rap

Lelaki paling jahat

Oleh Ramlah Zainal

Nama bintang legenda yang turut dikenali sebagai ‘Badman’ Bollywood, Gulshan Grover tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri perfileman di India mahupun di Hollywood.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, Gulshan, 61, sudah beraksi dalam lebih 400 filem hingga hari ini.

Terbaru, pelakon kelahiran New Delhi, India ini beraksi dalam filem tempatan berjudul I’m Not A Terrorist terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

Filem arahan Arjin Uppal itu melakar sejarah baru dalam industri perfileman tanah air kerana menampilkan gabungan bintang legenda Bollywood dan pelakon tempatan iaitu Gulshan, Farida Jalal, Rahul Dev, Afiq Muiz dan Chacha Maembong selain Kapten Khir Mohd Noor, Betty Banafe serta Datuk Jalaluddin Hassan.

Gulshan ketika ditemui berkata, dia menerima tawaran produser S Baldev untuk berlakon dalam filem ini kerana ingin mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Selain Bollywood, saya juga pernah berlakon banyak filem asing seperti Perancis, Jerman, Australia, Kanada, Poland dan Iran.

“Kali ini, saya dapat menimba pengalaman baru berlakon dalam filem terbitan produksi dari Malaysia pula. Cara bekerja dan persekitaran setiap negara berbeza dan saya tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah.

“Sebaliknya, saya seronok bekerja dengan syarikat perfileman dari negara berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Abu Zar, Gulshan berkata, ia juga memberi cabaran tersendiri buatnya.

“Watak Abu Zar digambarkan seorang warga Kashmir yang sangat jahat dalam filem ini dan ia berbeza dengan watak sebenar saya di luar filem.

“Pada masa sama, saya juga dikelilingi penduduk Kashmir yang baik dan penyayang serta memberi sokongan sepanjang pembikinan filem ini,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan pengarah dari Malaysia pula, kata Gulshan, walaupun masih muda, Arjin seorang yang berbakat besar dan memiliki idea bernas.

“Walaupun penggambaran filem ini berlangsung di kawasan yang bergolak dan berisiko tinggi di Kashmir, kerja penggambaran dapat dijalankan seperti direncanakan.

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan pelakon muda dari Malaysia seperti Chacha dan Afiq kerana mereka berbakat besar dan kami juga bekerja seperti keluarga besar,” katanya.

Filem yang membabitkan bajet lebih RM7 juta itu turut menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, tahun lalu.

Ia bakal ditayangkan pawagam di seluruh tanah air dan India serentak pada 5 Oktober ini.

Tidak bosan watak jahat

Watak jahat bagaikan sudah sebati dengan dirinya sejak dulu. Malah, Gulshan mengakui dia tidak pernah bosan melakonkan watak jahat hingga sekarang.

“Saya bermula dengan watak jahat dan imej ‘badman’ itu terus melekat dengan diri. Pada masa sama, produser dan pengarah filem juga lebih suka menawarkan saya watak jahat sejak dulu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Gulshan, watak jahat lebih mencabar dirinya berbanding sebagai hero.

“Saya perlu bekerja keras untuk memastikan watak jahat itu tidak klise dan memberi kesan mendalam kepada penonton,” katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Ganga Devi, I Am Kalam Bhati, Crook S.I. Joseph Pinto, Knock Out Bapuji,Andy, Love Story 2050 Dr Hoshi, Jumbo, Cape Karma, Dhokha dan Anthony Kaun Hai?

Selain itu, filem Taarzan: The Wonder Car, Ek Se Badkhar Ek (2003), Boom, Dudes in the 10th Century, Lajja, Air Panic dan 16 December.

Manakala, tiga projek filem barunya ialah Hello Mumbai (filem Iran), The Future Generation (Kanada) dan Forbidden (Amerika Syarikat).

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 3:12am
d