rap

Janji hasil memuaskan

Oleh Najiy Jefri

Kejayaan beberapa drama terbitan syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd termasuk Sesal Separuh Nyawa dan Syurgaku Tak Sempurna mendorong penerbitnya Datuk Rafiena Ezanee terus menghasilkan karya berkualiti tanpa mengambil kira perbelanjaan yang perlu dikeluarkan.

Terbaru, Rafiena tampil dengan drama 30 episod berjudul Mr Delicious yang bakal bersiaran di Hypp TV saluran Hypp Sensasi bermula malam ini jam 9 malam.

Mengakui berdebar menanti reaksi penonton, Rafiena menjelaskan dia sudah memberikan komitmen dan berpus hati dengan mutu lakonan setiap pelakon.

Mr Delicious dibintangi Reen Rahim, Kilafairy, Ieda Moin dan pelakon Indonesia, Guntur Triyoga.

“Setiap pelakon sudah buat yang terbaik. Saya kagum dengan mutu lakonan dan komitmen mereka.

“Saya yakin penonton pasti ternanti-nanti untuk melihat episod seterusnya kerana banyak babak menarik selain sarat dengan humor ,” katanya.

“Saya berharap ia mendapat maklum balas positif daripada penonton,” katanya.

Menjalani sebahagian penggambaran di Istanbul, Turki penghujung Mei lalu, Rafiena me­ngakui teruja merakamkan musim bunga dengan persekitaran cantik dan nyaman.

“Istanbul dipilih kerana bersesuaian dengan mood drama ini. Saya tiada masalah untuk mengeluarkan kos tinggi asalkan dapat mengekalkan kualiti setiap produk Darkwave Pictures.

“Bagi saya, apabila setiap naskhah itu diterjemahkan dengan baik, ia memberikan kepuasan kepada diri sendiri. Menerusi drama ini saya cuba menyuntik pelbagai elemen menarik sehingga ia kelihatan seperti sebuah filem.

“Kami tidak pernah mengadakan penggambaran di sana. Jadi, kami ambil peluang merakamkan setiap tempat indah yang terdapat di kota itu,” katanya.

Menurut Rafiena, pemilihan pelakon dibuat berdasarkan karekter. Drama ini mengisahkan tiga sekawan iaitu Fina, Zara dan Zita yang berkawan baik sejak di bangku sekolah.

“Setiap watak mempunyai karakter berbeza. Fina lakonan Reen Rahim misalnya gadis yang yang serius dan agak di­ngin dengan lelaki, Zara (Kilafairy) gadis ‘bimbo’ dan gedik, Zita (Eida) pula garang, tegas dan kuat melatah.

“Mereka mengenali Aiman sejak kecil. Apabila dewasa, mereka jatuh cinta dengannya. Disebabkan itu, banyak peristiwa lucu dan sedih berlaku di antara mereka,” katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 3:16am
d