rap

DO(s)A bukan drama biasa

Oleh Nor Akmar Samudin

Hujung minggu lalu, media dari Malaysia diterbangkan ke majlis pelancaran drama mini siri premium berjudul DO(s)A dan ke lokasi penggambaran drama itu di Jakarta.

Ia penerbitan mini siri Nusantara bersaiz mega membabitkan kerjasama dua negara, Malaysia dan Indonesia. Selaku penerbit yang diberi kepercayaan oleh Astro, Arie Zaharie dan syarikat produksinya Arie Zaharie Production Sdn Bhd (AZP) menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan pembikinan DO(s)A setaraf drama terbitan produksi antarabangsa.

Karya asal drama itu diilhamkan Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro Saniboey Mohd Ismail dan penulis skrip terkenal Indonesia, Salman Aristo apabila Salman juga bertindak selaku penulis skripnya.

Pencinta filem Indonesia sudah tidak asing lagi dengan figura itu kerana dia penggiat seni yang cukup disegani di negaranya. Salman adalah penulis skrip untuk karya pecah panggung seperti Ayat-Ayat Cinta, Laskar Pelangi, Garuda di Dadaku dan Sang Penari.

Pengarah DO(s)A iaitu Ifa Isfansyah juga pernah menang banyak anugerah untuk pengarah terbaik di Indonesia. Tidak cukup dengan dua nama besar itu, AZP juga menggunakan khidmat Pengarah Koreografi handalan, Cecep Arif Rahman untuk mengawasi dan memantapkan adegan aksi drama itu. Sebelum ini, Cecep dikenali menerusi filem Indonesia, The Raid: Berandal.

DO(s)A juga dibarisi pelakon hebat gabungan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita iaitu Datuk M Nasir, Remy Ishak , Daniella Sya, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama Tegar Satrya , Shenty Feliziana serta Hisyam Hamid.

Lantaran itu, menerusi pengalaman dan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pemain utama di belakang tabir DO(s)A ini, AZP dan Astro menjanjikan kelainan pada mini siri bergenre aksi ini.

Menurut Arie, cabaran besar menunggunya kerana DO(s)A bukanlah drama biasa yang dilihat di TV.

“Saya dan semua yang terbabit dalam pembikinan drama ini mencabar diri untuk menghasilkan produk berkualiti setaraf tontonan antarabangsa seperti yang dilakukan Netflix, Amazon Prime dan HBO. Untuk mencapai kualiti sedemikian, produksi menggunakan pendekatan baru dan berbeza dari segi jalan cerita, aspek pembangunan skrip, pra produksi yang jauh lebih panjang serta produksi hampir dua bulan lamanya hanya untuk menghasilkan drama lapan episod berdurasi sejam setiap episod.

“Cabaran kedua ialah menggunakan kru produksi dari Jakarta iaitu satu pasukan yang sangat berbeza berbanding di Malaysia dengan kru yang lebih ramai, cara kerja lebih terperinci dan kami dari Malaysia terpaksa membiasakan diri dengan mereka.

“Saya juga perlu memastikan semua orang memahami visi dan misi AZP dalam memburu kualiti yang digariskan oleh Astro. Oleh itu, AZP perlu jadi sangat tegas terhadap semua orang yang terbabit dalam produksi ini dan ia satu peringatan yang wajib disuarakan setiap hari selama berlangsungnya penggambaran drama ini,” katanya.

Selain itu ujar Arie, AZP sentiasa memberikan semangat kepada mereka yang bekerja di belakang tabir dan di depan lensa kamera. Ia adalah tugas yang perlu dilakukan pada setiap minit.

“Ini produksi paling besar di antara Malaysia dan Indonesia dalam bentuk penerbitan drama TV dan ia adalah usaha berani Astro untuk mengorak langkah menjadi pemain industri kandungan dalam skala yang lebih besar,” katanya.

DO(s)A menjalani pengambaran lima hari di Kuala Lumpur dan baki 90 peratus lagi di Jakarta, membabitkan kawasan di sekitar Jakarta Barat sehingga Jakarta Timur. Mini siri itu sarat dengan babak yang mendebarkan, aksi saspens dan ganas. Namun begitu, pada masa sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan dan bibit percintaan.

Sesi penggambaran DO(s), bermula Julai lalu dan dijangka berakhir 30 hari lagi.

Mini siri itu akan disiarkan pada penghujung tahun ini di platform digital, ‘on demand’ seiring tayangan di TV menerusi Astro Citra.

Sinopsis

DO(s)A mengisahkan empat beradik dibesarkan bapa mereka sendirian iaitu Latif (M Nasir) dengan nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid) dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka di tempat paling sunyi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat dan setiap hari berlatih ilmu persilatan seolah-olah sedang bersiap-siaga menghadapi sesuatu. Fara sering memberontak namun tidak diendahkan Latif.

Hubungan keluarga itu semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu Latif, mereka menjadi rapat. Menyedari perkara itu, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara daripada bertemu Arian bahkan Fuad bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta kerana Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan orang seperti Arian.

Berang dengan tindakan Fuad, Fara mengekori Arian ke Jakarta tanpa mengetahui bahaya yang menantinya di sana. Sebaik saja Fara keluar dari pintu ketibaan di lapangan terbang di Jakarta, dia diculik dan dihumban ke dalam van lalu dikurung di sebuah gudang. Lantas, Latif terus menghantar Fuad, Farid dan Fahad ke Jakarta untuk membawanya pulang. Di sana, mereka tiga beradik sering diserang tanpa sebab yang pasti. Arian yang baru mendengar berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami mengenai asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka sebenarnya. Tanpa disedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu mengakhirkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 3:48am
d