rap

Selit lebih banyak babak Transformers

Oleh Syanty Octavia Amry

Gemar melakukan eksperimen terhadap setiap filem garapannya, pengarah muda Syafiq Yusof, 25, gembira apabila hasrat memasukkan babak Transformers dalam filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) terlaksana.

Inilah antara kelainan dalam filem yang bakal ditayangkan bermula Khamis depan.

Filem aksi komedi ini diterbitkan Skop Productions Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw. Ia menampilkan lakonan Zizan Razak, Syamsul Yusof, Achey Bocey, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, Tania Hudson, A Galak dan ramai lagi.

Walaupun dalam Abang Long Fadil 1, Syafiq turut memasukkan sedikit babak filem Transformers, tetapi dalam sekuelnya ini lebih banyak babak filem pecah panggung terkenal itu dimuatkan.

Hampir 40 peratus pembikinan Abang Long Fadil 2 menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI).

Mengakui sangat meminati filem Transformers, Syafiq dapat mencurahkan sepenuh ilmunya dalam dunia CGI menerusi filem terbarunya ini.

Bantuan daripada pihak berkenaan berjaya merealisasikan impiannya dan berharap dapat berbuat begitu lagi untuk filem akan datang.

“Sudah lama saya menyimpan hasrat itu dan tidak saya nafikan ia agak susah kerana di Malaysia tidak ramai yang boleh melakukannya.

“Kebanyakannya menyambung kemahiran itu di luar negara untuk mendapatkan CGI yang lebih menarik dan canggih,” katanya.

Syafiq berkata, seramai 22 orang digunakan dalam memastikan babak CGI nampak lebih sempurna dan realistik.

“Saya sedar belum mampu melakukan CGI setaraf filem Hollywood, tapi sekurang-kurangnya percubaan saya berjaya.

“Insya-Allah jika ada peluang saya mahu melakukannya lagi untuk filem akan datang,” katanya.

MINAT WAK DOYOK

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pembabitan Wak Doyok, Syafiq berkata, sebelum popular dia sudah meminati Wak Doyok dan sering mengikuti perkembangannya di Instagram.

Dia juga sudah menyimpan hasrat untuk menggandingkan Wak Doyok dengan A Galak disebabkan misai mereka yang serupa.

“Sejak mengikuti Wak Doyok, saya sudah mula menyimpan hasrat untuk mengambil dia berlakon dalam filem arahan saya.

“Memang susah hendak memujuknya sehingga saya merayu barulah dia setuju. Bagi saya dia seorang yang unik dan tidak sangka dia semakin popular.

“Saya anggap popularitinya itu adalah kelebihan untuk dia berlakon filem ini. Malah, saya kagum sikap komited yang dia berikan sepanjang menjalani penggambaran filem ini,” katanya.

Syafiq berkata, apabila Wak Doyok setuju berlakon dan bergandingan dengan A Galak, dia berasa bagaikan salah satu impiannya tercapai dan menjadi kenyataan.

Selain itu, Syafiq juga dalam perancangan menghasilkan filem istimewa buat Wak Doyok.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 4:16am
d